Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 23 Mei 2001

Pengganti juga boleh dilucut

KUALA LUMPUR 22 Mei - Lembaga Disiplin UMNO tidak akan teragak-agak melucutkan jawatan ketua bahagian yang baru disandang oleh pemimpin parti itu ekoran keputusan Majlis Tertinggi (MT) semalam, jika mendapati mereka juga terlibat dalam amalan politik wang.

Ahli Lembaga Disiplin, Datuk Nakhaie Ahmad berkata, ada antara pemimpin berkenaan telah dipanggil untuk siasatan lanjut kerana didakwa terlibat dalam kegiatan yang menyalahi peraturan parti itu.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama ketua bahagian yang telah dipanggil.

``Jangan ingat apabila telah dilantik mereka akan terlepas daripada hukuman dan pihak lembaga akan mengabaikan siasatan itu,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas keputusan MT UMNO semalam yang mengekalkan keputusan Lembaga Disiplin ke atas enam pemimpin yang didapati bersalah terlibat dalam politik wang pada pemilihan baru-baru ini.

Tiga ketua bahagian yang dibatalkan kemenangan ialah Mustafa Kamal Mohd. Nawi, Datuk Abdullah Omar dan Datuk Zainol Md Isa.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan pencabar bagi ketiga-tiga jawatan ketua bahagian iaitu Abdul Malik Munip (Muar), Datuk Raja Ariffin Raja Sulaiman (Baling) dan Datuk Aziz Samsudin (Gopeng) akan mengisi jawatan itu.

Dalam pada itu, Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib yang sependapat dengan Nakhaie berkata, tidak semestinya pemimpin yang dilantik akan kekal selama-lamanya.

Katanya, jika pemimpin berkenaan didakwa terlibat dalam politik wang dan lembaga mendapati beliau bersalah, maka hukuman yang sama akan dikenakan.

``Dan ketika itu, jawatankuasa akan memilih naib ketua bahagian sebagai penyandang jawatan tersebut,'' katanya.

Muhammad menolak andaian bahawa pelantikan calon yang kalah atau mendapat undi terbanyak jika melibatkan lebih seorang calon akan menjejaskan nama dan imej parti.

Tegas beliau, UMNO pada bila-bila masa boleh mengenakan tindakan kepada mana-mana ahli yang terlibat dalam kegiatan yang bertentangan dengan perlembagaan parti.

Beliau turut menyifatkan keputusan UMNO sebagai amalan biasa yang tidak perlu diragui oleh ahli-ahli parti.

Beliau mengambil contoh keputusan Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur pada Ogos 1995 yang mengisytiharkan calon Barisan Nasional, Dr. Lee Choo Meng sebagai wakil rakyat baru kawasan Bukit Bintang.

Keputusan itu dibuat selepas Datuk Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim yang bertindak sebagai hakim pilihan raya mengisytiharkan calon DAP, Wee Chee Keong tidak layak menduduki kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya umum 1995.

``Saya yakin keputusan MT itu merupakan cara terbaik untuk menggantikan pemimpin yang telah dilucutkan jawatan,'' katanya.

Oleh: NORAINI ABDUL RAZAK

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum