Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 23 Mei 2001

Arahan ketua bahagian isytihar harta boleh kukuhkan parti

JOHOR BAHRU 22 Mei - Arahan Majlis Tertinggi (MT) supaya ketua-ketua bahagian mengisytiharkan harta masing-masing boleh mengukuh dan menguatkan keyakinan orang Melayu bahawa UMNO merupakan satu-satunya parti yang memperjuangkan nasib bangsa, agama dan negara secara tulen.

Ketua UMNO bahagian Pulai, Tan Sri Mohamed Rahmat berkata, langkah drastik MT itu memang kena pada waktunya kerana gejala politik wang kini menjadi `penyakit' serius dalam UMNO.

``Usaha ini memang cukup baik kerana kita tidak mahu ada ketua-ketua bahagian menyalahgunakan kuasa semasa menjadi pemimpin bahagian.

``Sebagaimana yang umum tahu tujuan parti memilih ketua bahagian adalah untuk mentadbir parti dan diberi kepercayaan penuh untuk memajukan parti dan bukan gunakan kedudukan itu untuk menghimpun kekayaan,'' ujarnya.

Beliau memberikan reaksi ketika diminta mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang mahukan semua ketua bahagian mengisytiharkan aset mereka manakala yang akan bertanding jawatan itu pada masa depan turut perlu berbuat demikian.

Selain itu, kata Dr. Mahathir mereka yang menjadi ketua bahagian ketika ini juga tidak akan diberi peluang mendapat kontrak perniagaan daripada kerajaan.

Mohamed yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata, dalam UMNO kini terdapat trend `JKK' iaitu berebut-rebut untuk mendapat jawatan, kuasa dan menjadi kaya.

``Trend itu mesti dihentikan, kalau tidak orang Melayu bukan sahaja menjauhkan diri daripada UMNO malah benci kepada parti tersebut,'' katanya.

Ketua UMNO bahagian Pontian, Hasni Mohamad berkata, langkah drastik yang diambil UMNO itu memang wajar kerana langkah itu diambil setelah mengambil kira pandangan daripada masyarakat umum.

``Saya yakin langkah pengisytiharan aset oleh para pemimpin UMNO itu merupakan satu kaedah yang membolehkan UMNO membendung atau mempertahankan dari sebarang tohmahan-tohmahan liar,'' katanya.

Hasni yang baru dipilih sebagai ketua bahagian berkenaan pada pemilihan bahagian yang lalu berkata, beliau tidak keberatan untuk memberikan kerja sama untuk mengisytiharkan aset yang dimiliki selama ini.

Ketua UMNO bahagian Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz turut bersedia dengan arahan tersebut sambil menyifatkan langkah MT itu dapat mengelakkan pelbagai sangkaan buruk orang awam terhadap mana-mana pihak.

``Apa yang dilakukan oleh para pemimpin kita itu khasnya di kalangan MT merupakan satu proses untuk menguatkan keyakinan orang-orang Melayu bahawa UMNO merupakan satu-satunya wadah yang memperjuangkan bangsa Melayu,'' katanya.

Mohamad berkata, untuk mencapai matlamat tersebut para pemimpin khasnya di kalangan ketua-ketua bahagian harus menjadi pemimpin yang bersih dan dilihat bersih dari segala aspek kehidupan.

Ketika menjawab satu pertanyaan Mohamad berkata, berapa banyak pun harta yang dimiliki oleh seseorang ketua bahagian itu ia tidak menjadi isu atau dipertikaikan, jika harta itu diperoleh dengan cara yang betul.

Ketua UMNO bahagian Johor Bahru, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, langkah itu memang cukup baik bagi membersihkan imej UMNO daripada pelbagai buruk sangka di kaca mata umum.

Shahrir berkata, dengan adanya kaedah itu ia secara tidak langsung boleh mengubah cara hidup atau stail seseorang pemimpin terbabit.

``Sebagai ketua bahagian kita harus menunjukkan sikap sederhana dalam semua hal kehidupan. Dari situ baru timbul rasa hormat dan UMNO terus diyakini oleh orang-orang Melayu,'' ujarnya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum