Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 23 Mei 2001

Exco: Zainol akan bincang dengan pucuk pimpinan

BALING 22 Mei - Datuk Zainol Md. Isa yang dibatalkan kemenangannya sebagai Ketua UMNO bahagian Baling akan berbincang dengan pucuk pimpinan parti dan Menteri Besar, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain sebelum membuat sebarang keputusan mengenai kedudukannya sebagai anggota Exco.

Zainol bagaimanapun turut akur dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO semalam yang memperakukan keputusan Lembaga Disiplin parti yang mendapatinya bersalah dalam politik wang pada pemilihan baru-baru ini.

``Esok, saya akan menghadiri mesyuarat Exco kerajaan negeri,'' ujar Zainol.

Ketika ditanya sama ada beliau akan melepaskan jawatan Exco berikutan keputusan MT, Zainol menjelaskan: ``Perkara itu tidakpun dibincangkan.''

Sementara itu Zainol yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Bayu bagaimanapun menyatakan beliau tidak nampak kewajaran yang ada baginya untuk melepaskan jawatan sebagai anggota Dewan Undangan Negeri kawasan itu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad semasa mengumumkan keputusan Lembaga Disiplin semalam turut menegaskan bahawa pemimpin yang memegang jawatan kerajaan dan didapati bersalah perlu mengambil langkah yang mencerminkan keputusan parti.

Walaupun MT memperakukan keputusan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin, Zainol tetap mempertahankan pendirian bahawa kes yang melibatkan dirinya tidak berkaitan dengan unsur-unsur politik wang kerana ia membabitkan persatuan Belia 4B yang dipimpinnya.

Katanya, satu program mesyuarat jawatankuasa Belia 4B bahagian Baling yang dikendalikannya di salah sebuah hotel di Sungai Petani dengan dihadiri beberapa orang Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) turut menjadi isu sehingga beliau didakwa mengamalkan politik wang.

Beliau menjelaskan kehadiran anggota JKKK pada majlis itu adalah untuk membincangkan aktiviti program belia tani yang bakal diadakan bersama Belia 4B dan JKKK.

Atas alasan itu, Zainol juga menyatakan beliau bersedia untuk membuat rayuan sekali lagi kepada Lembaga Disiplin UMNO bagi membersihkan namanya dan dalam masa yang sama turut meminta para penyokongnya bertenang.

``Saya juga berharap penyokong saya akur dengan keputusan MT walaupun ia turut membabitkan perubahan pucuk pimpinan UMNO bahagian Baling.

``Mereka perlu bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang dipilih sebagai ketua bahagian,'' kata Zainol.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum