Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 26 Mei 2001

Ahli sekarang tentukan kekuatan UMNO

SEREMBAN 25 Mei - Kejayaan dan kekuatan UMNO bergantung kepada perjuangan parti yang diterajui kepimpinan dan ahli-ahli pada masa sekarang yang dianggap sebagai pemegang wasiat pemimpin terdahulu.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, wasiat itu perlu dilaksanakan oleh generasi UMNO hari ini untuk membawa kemajuan negara dan anak cucu mereka yang berjaya pada masa depan.

Beliau berharap setiap ahli UMNO sedar dan faham serta yakin akan perjuangan mereka.

``Kita adalah pemegang wasiat pemimpin-pemimpin perjuangan kemerdekaan dahulu. Apa kehendak dan pesanan mereka dahulu semasa mereka masih ada, sekarang ini sudah menjadi wasiat,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan pemimpin dan ahli UMNO Negeri Sembilan di Wisma Negeri, di sini hari ini.

Dengan itu, Abdullah menegaskan kepimpinan barisan baru UMNO selepas pemilihan bahagian lalu perlu merapatkan barisan dengan memberi tempat kepada semua golongan dan tidak memisahkan mereka.

``Kita mesti sanggup menjadi pemimpin kepada semua ahli dan bukan sekadar kepada golongan yang menyokong sahaja,'' ujarnya.

Di samping itu, beliau juga meminta ahli-ahli UMNO mengiktiraf kepimpinan baru yang dipilih secara demokrasi dan mengikut perlembagaan parti.

Tegasnya: ``Mereka tidak boleh menganggap oleh sebab yang menang bukan dari kumpulan mereka, mereka tidak ada sebab untuk memberi sokongan (pemimpin bahagian) dan sikap ini tidak baik kepada parti.''

Sebaliknya, kata Timbalan Perdana Menteri, selepas sahaja pemilihan di peringkat bahagian berakhir, setiap pemimpin dan ahli perlu teguh dan kuatkan parti dengan menjalinkan semangat bersatu padu dan muafakat sesama mereka.

Abdullah mengingatkan mereka bahawa apa yang menjadi matlamat sekarang ialah untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ini juga bermakna, sebahagian besar waktu antara pilihan raya dahulu dan akan datang nanti akan dipimpin oleh kepimpinan bahagian UMNO yang baru.

Dengan sebab itu, Timbalan Presiden UMNO meminta mereka yang kalah dalam pertandingan di peringkat bahagian tidak membuat tuduhan tertentu kepada pihak yang menang kerana hakikatnya ia tidak mendatangkan kebaikan kepada parti.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum