Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 30 Mei 2001

PM gariskan tiga cabaran penting buat Pemuda

KUALA LUMPUR 29 Mei - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hari ini menggariskan tiga cabaran penting yang perlu dilaksanakan oleh ahli-ahli Pergerakan Pemuda UMNO bagi membuktikan mereka komited terhadap perjuangan parti.

Katanya, cabaran itu ialah setiap ahli Pemuda UMNO mesti menarik lima pemuda lain menyertai UMNO, setiap ahli Pemuda yang layak mesti menjadi pengundi berdaftar dan setiap cawangan Pemuda mesti mempunyai sebuah bilik gerakan.

Presiden UMNO itu berkata, beliau sendiri akan memantau pelaksanaan tugas-tugas tersebut dan akan membuat penilaian sama ada Pemuda UMNO sudah bersedia untuk mewarisi kepimpinan UMNO atau sebaliknya.

Menurut beliau, dalam rangka lawatannya ke bahagian-bahagian di seluruh negara, bilik gerakan Pemuda cawangan akan menjadi salah satu atur cara lawatannya selepas ini.

``Ini ialah satu ujian praktikal, selain daripada kita berkumpul, melaung-laungkan `Hidup Melayu' dan sebagainya. Tidak begitu romantik tetapi ia akan menentukan sama ada kita komited ataupun tidak,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap di hadapan hampir 7,000 ahli Pemuda UMNO pada majlis Amanat Perdana Presiden Bersama Pemuda di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata, dalam bilik gerakan itu, perlu ada senarai ahli-ahli baru dan juga senarai ahli yang telah berdaftar sebagai pengundi dalam pilihan raya.

Katanya, tidak ada sebarang peruntukan kewangan akan diberikan bagi menjalankan ketiga-tiga tugas tersebut.

``Saya hendak tengok (tanpa peruntukan), cawangan mana yang terbaik,'' katanya.

Dr. Mahathir berkata, selain tiga cabaran itu, Pemuda juga harus belajar memahami erti demokrasi yang sebenar sebagai persediaan untuk mengambil alih UMNO.

Katanya, Pemuda perlu mendisiplinkan diri bagi memastikan sistem itu berfungsi dengan baik dan berkesan ketika memilih pemimpin.

``Tanya diri kita sama ada kita berjuang untuk parti atau untuk individu. Kalau untuk parti, kita sokong semua dan rapatkan barisan dan sokong yang menang.

``Tetapi ramai yang tidak faham, bila kalah, ramai yang kecewa dan tidak mahu lagi menyokong parti,'' jelasnya.

Sebagai pewaris UMNO, katanya, ahli-ahli Pemuda harus menjadikan demokrasi sebagai pelajaran yang pertama.

Selain itu, katanya, Pemuda juga mesti sentiasa turun ke bawah untuk berjumpa dengan rakyat.

Katanya, masalah UMNO sekarang ialah ada wakil rakyat yang tidak mahu menjengah rakyat walaupun sebelum ini mereka begitu ghairah untuk menjadi wakil kawasan tersebut.

``Kalau hendak turun, jangan turun dengan kereta mewah. Boleh tinggal kereta mewah di rumah, biar nampak lekeh sikit supaya rakyat lebih senang jumpa dengan kita,'' jelasnya.

Beliau berharap Pemuda UMNO tidak mengambil contoh yang tidak baik itu apabila mereka mewarisi UMNO kelak.

Dr. Mahathir seterusnya mengingatkan Pemuda UMNO supaya menolak amalan politik wang seperti yang diamalkan oleh sesetengah pemimpin sekarang.

Katanya, walaupun wang diperlukan untuk melaksanakan tugas tertentu tetapi ia tidak boleh digunakan untuk mempengaruhi keputusan pemilihan.

``Hari ini, kita jual undi semasa pemilihan dalam UMNO. Bila ini sudah menjadi tabiat, kita akan jual undi masa pilihan raya. Lepas itu nak jual apa? Akhirnya, maruah kita jual,'' katanya.

Kata Dr. Mahathir, walaupun tindakan yang diambil oleh parti terhadap mereka yang terlibat dengan politik wang agak keras tetapi ia adalah wajar kerana kerosakan yang dilakukan kepada parti dan negara amat besar.

Beliau juga memberi jaminan bahawa sesiapa sahaja tidak akan terlepas dari dikenakan tindakan jika parti dapat membuktikan kesalahan mereka itu.

``Mereka terlepas kerana mereka yang menerima (rasuah) tidak sanggup memberikan penjelasan,'' katanya.

Beliau berjanji tidak akan mempertimbangkan sebarang kontrak kerajaan kepada ketua-ketua bahagian yang menang.

Dalam amanatnya itu, Presiden UMNO itu menasihatkan Pemuda supaya tidak gopoh dan juga tidak hanya menunggu kepimpinan UMNO diserahkan kepada mereka tanpa perlu membuat persediaan secukupnya.

``Banyak kerja kena buat sebelum boleh mengambil alih dan kerja ini akan menjadi pengalaman berguna apabila mengambil alih UMNO kelak,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum