Make your own free website on Tripod.com

POLITIK

Berita Harian 10 april 2001

Ketelusan Keadilan temui diplomat asing dipersoal


Kuala Lumpur, Isnin – Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar mempersoalkan ketelusan Parti Keadilan Nasional (Keadilan) mengadakan taklimat mengenai kesihatan Datuk Seri Anwar Ibrahim Anwar khusus untuk diplomat dan media asing.

“Jika benar Keadilan telus mengenai taklimat yang diberinya, kenapa wakil media tempatan dilarang membuat liputan,” katanya menggulung perbahasan Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) bagi kementeriannya.

Syed Hamid turut membidas tindakan Keadilan mempolitikkan isu sakit tulang belakang Anwar hingga mengelirukan negara luar dan menyebabkan kerajaan terpaksa campur tangan bagi menjelaskan keadaan sebenar.

Teguran itu kurang disenangi pembangkang, khususnya Abdul Rahman Yusof (Keadilan-Kemaman) hingga mencetuskan perbahasan hangat.

Datuk Kamaruddin Jaafar (Pas-Tumpat) juga cuba mempertahankan tindakan Keadilan dengan merujuk Konvensyen Perhubungan Diplomatik Vienna yang turut ditandatangani dan diiktiraf Malaysia.

Bagaimanapun, Syed Hamid berkata, penjelasan kepada diplomat asing dibenarkan hanya jika kandungannya tidak mencampuri atau menyentuh urusan politik dalaman negara.

Katanya, kerajaan hanya campur tangan apabila isu itu menjadi modal politik peribadi Keadilan untuk meraih simpati dunia sehingga semua isu berkaitan menempatkan negara dalam pengamatan antarabangsa.

Syed Hamid berkata, taklimat Keadilan mengenai kesihatan Anwar menjadikan wakil media serta diplomat asing bertambah keliru hingga memaksa kerajaan memberi penjelasan lanjut.

“Sudah menjadi tugas Wisma Putra, bukan Keadilan, untuk menjelaskan keadaan sebenar kepada diplomat asing supaya gambaran sebenar dapat disampaikan dalam laporan mereka ke negara asal masing-masing.

“Sebaliknya, Keadilan perlu menumpukan perhatian terhadap memberi penjelasan kepada rakyat tempatan dan bukannya mempolitikkan isu itu sehingga memaksa kerajaan bertanggungjawab memberi penerangan kepada masyarakat dunia.

Sementara itu, Jamaluddin Jarjis (BN-Rompin) meminta pembangkang, khususnya Pas dan Keadilan, memperjuangkan sesuatu yang lebih berfaedah, umpamanya nasib orang Melayu Singapura.

Dalam perkembangan lain, Madius Tangau (BN-Tuaran) mempersoalkan kenapa Sabah sebagai negeri yang berdaulat dalam Malaysia, masih perlu membayar wang pajakan RM5,000 kepada Kesultanan Sulu di Filipina.

Kata Syed Hamid, isu kedaulatan tidak timbul kerana Sabah diiktiraf sebahagian daripada Malaysia oleh kerajaan Filipina sendiri dan konsulat negara itu akan ditubuhkan di Kota Kinabalu tidak lama lagi.

Bagaimanapun, Datuk Yong Teck Lee (BN-Gaya) mengingatkan Syed Hamid bahawa beberapa tindakan terbaru Filipina menggambarkan bahawa negara itu masih belum melepaskan tuntutannya terhadap Sabah.

Umpamanya, kata Yong, tuntutan Filipina terhadap kepulauan Sipadan dan Ligitan di Sabah yang dibawa ke muka pengadilan Mahkamah Antarabangsa (ICJ) menunjukkan bahawa kerajaan masih perlu berhati-hati.

Syed Hamid memaklumkan bahawa sebagai negara perdagangan, Malaysia tidak boleh bertindak memutuskan hubungan diplomatik sebaik saja ada masalah, sebaliknya ia perlu diselesaikan secara rundingan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi