Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 30 Mei 2001

Lembaga Disiplin UMNO berhak buat keputusan sendiri

KUALA LUMPUR 29 Mei - Lembaga Disiplin UMNO berhak membuat keputusan berhubung tindakan dan hukuman yang dikenakan kepada ahlinya tanpa merujuk kepada Jawatankuasa Pengurusan parti.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, bukanlah menjadi satu prosedur kepada lembaga itu untuk menyerahkan semua laporan kepada jawatankuasa tersebut berhubung tindakan yang dikenakan kepada ahli UMNO.

``Apa pun perkara yang berkaitan disiplin ahli, ia adalah bidang kuasa Lembaga Disiplin,'' katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Sebelum itu beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri membentangkan Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) di Dewan Negara.

Abdullah selanjutnya berkata, Jawatankuasa Pengurusan yang diketuainya akan menerima segala keputusan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin yang dipengerusikan oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen itu kerana ia adalah muktamad.

Beliau turut menjelaskan, Majlis Tertinggi (MT) tidak akan membuat sebarang siasatan susulan terhadap keputusan yang telah dibuat oleh Lembaga Disiplin.

``Kita tidak akan mengkaji laporan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin kerana itu di luar daripada bidang tugas kita,'' katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, sebarang keputusan daripada Lembaga Disiplin perlu dikemukakan kepada MT untuk mendapat pengesahan.

Mengulas mengenai siasatan terhadap dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri Beserah, Datuk Fauzi Abdul Rahman, beliau memberitahu, MT UMNO belum menerima sebarang laporan daripada Lembaga Disiplin berhubung perkara itu.

``Berkenaan dengan kes itu, tidak ada lagi keputusan. Saya tidak diberitahu pun. Itu kena tanya Tengku Ahmad Rithaudeen,'' jelasnya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum