Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 31 Mei 2001

Baling: Patuhi keputusan MT

KUALA LUMPUR 30 Mei - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta 114 ketua cawangan di bahagian Baling mematuhi keputusan Majlis Tertinggi (MT) parti yang melantik Datuk Raja Ariffin Raja Sulaiman sebagai ketua bahagian itu.

Beliau menjelaskan, pelantikan Raja Ariffin sebagai ketua bahagian menggantikan Datuk Zainol Md. Isa tidak bercanggah dengan Fasal 15.7 Perlembagaan UMNO.

Ini kerana, kata beliau, jawatan Zainol terbatal apabila didapati bersalah terlibat dalam politik wang yang sekali gus tidak melayakkan dirinya memegang jawatan sebagai ketua bahagian.

``Mereka menganggap apabila ketua bahagian tidak ada maka timbalan menjadi pengganti atau pemangku.

``Soalnya sekarang yang menang itu dibatalkan kemenangannya. Soal dia pegang jawatan tidak timbul,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan UMNO di Ibu Pejabat UMNO di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan 114 ketua cawangan UMNO di Bahagian Baling yang mengemukakan memorandum bantahan pelantikan Raja Ariffin sebagai ketua bahagian kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain, kelmarin.

Jurucakap kumpulan itu, Wan Mahmud Wan Ibrahim berkata, pelantikan Raja Ariffin itu bercanggah dengan perlembagaan parti.

Menurut Wan Mahmud, mengikut Fasal 15.7 Perlembagaan UMNO, jawatan ketua bahagian hendaklah dipangku oleh timbalan ketua jika ketua tidak dapat menjalankan tugas kerana dipecat, uzur atau meninggal dunia.

Kumpulan itu juga mempertikaikan kemampuan Raja Ariffin yang mengalami masalah kesihatan untuk melaksanakan tugasnya.

Abdullah yang juga Timbalan Perdana Menteri selanjutnya berkata, tindakan ketua cawangan UMNO terbabit yang menghantar memorandum bantahan kepada Menteri Besar Kedah berhubung perkara itu adalah tidak wajar.

``Patuhlah kepada keputusan. Kalau setiap kali keputusan dibuat akan dibantah, bila akan ada keputusan,'' tegasnya.

Katanya, keputusan yang dibuat oleh MT adalah jelas dan tidak perlu dipertikaikan lagi.

``Jika salah seorang yang menang dalam pertandingan bahagian didapati bersalah, maka lagi satulah yang akan ambil jawatan itu,'' jelasnya.

Sehubungan itu, beliau meminta semua ketua cawangan UMNO terbabit tidak terkeliru dengan fasal yang terkandung dalam perlembagaan parti itu.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum