Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 31 Mei 2001

Politik wang: Keputusan kes Bahagian Kuantan ambil masa

Oleh:SAMSOR JUNET
KUANTAN 30 Mei - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, Lembaga Disiplin UMNO perlu mengambil masa sebelum membuat keputusan terhadap kes politik wang dalam UMNO Bahagian Kuantan kerana tidak mahu ada pihak yang teraniaya.

Beliau berkata, biarlah Lembaga Disiplin mengambil sedikit masa dalam membuat keputusan terhadap siasatannya asalkan ia memberikan keadilan terhadap semua pihak yang didakwa.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti berkata, banyak lagi kes lebih besar yang perlu diselesaikan terlebih dahulu oleh lembaga berkenaan sedangkan kes UMNO Bahagian Kuantan terlalu kecil.

``Saya secara peribadi menganggap kes UMNO Bahagian Kuantan ini terlalu kecil, ia seperti bom yang meletup tetapi tidak ada orang yang mati, sebab itu ia mengambil masa supaya tidak ada orang yang teraniaya, lagipun ada lagi saksi yang dipanggil,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini hari ini ketika ditanya mengapa Lembaga Disiplin terlalu lambat membuat keputusan mengenai aduan politik wang UMNO Bahagian Kuantan yang mendapat perhatian umum.

Adnan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang berkata, ada pihak yang dikaitkan dengan kes berkenaan telah dipanggil untuk memberikan keterangan dengan sejelas-jelasnya.

``Apabila dipanggil memberi keterangan membela diri, tak semestinya bersalah, mereka yang berkenaan perlu memberikan alasan-alasan yang kuat bagi mempertahankan diri atas tuduhan yang dikenakan, itu sahaja,'' jelasnya sambil menasihatkan pihak-pihak yang terlibat tidak memberikan sebarang kenyataan kepada umum.

Ditanya mengenai kemungkinan berlaku pilihan raya kecil dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang kawasan Beserah, Adnan berkata: ``Kita bersedia untuk diadakan pilihan raya bila-bila masa, tetapi jangan ingat pula saya merujuk kepada Beserah, saya bercakap secara umum.''

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum