Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 31 Mei 2001

Pengambilalihan Nanyang lulus

KUALA LUMPUR 30 Mei - Mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA petang ini meluluskan cadangan pengambilalihan Nanyang Press Holdings Berhad oleh Huaren Holdings Sdn. Bhd., (Huaren) walaupun didesak oleh pelbagai pihak supaya membatalkan urus niaga tersebut.

Keputusan itu dicapai setelah 32 ahli jawatankuasa menyokong manakala lapan menentang yang dibuat secara undian dalam mesyuarat tiga setengah jam di Wisma MCA di sini.

Dengan ini bermakna, Huaren kini boleh menyelesaikan urusan pengambilalihan itu dengan Hume Industries (M) Bhd., pemilik Nanyang, seperti yang dijadualkan, esok.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Ling Liong Sik ketika mengumumkan perkara itu berkata, sebelum keputusan dibuat, semua ahli jawatankuasa pusat parti diberikan peluang menyatakan pendapat secara bebas berhubung pembelian itu.

Katanya, mesyuarat juga telah mengambil kira pandangan dan keprihatinan daripada semua pihak yang disuarakan sejak isu tersebut mula diperkatakan dua minggu lalu.

``Dengan itu, Huaren Holdings dan Huaren Management diberikan kuasa untuk bertindak dengan sewajarnya bagi melengkapkan pelaburan yang dimaksudkan itu.

``Pemegang saham Huaren Holdings yang bertindak sebagai pemegang amanah kepada parti juga perlu bertindak dengan sewajarnya bagi melaksanakan keputusan tersebut,'' katanya dalam sidang akhbar yang dihadiri oleh lebih 50 wartawan tempatan dan asing itu.

Isu itu timbul ekoran keputusan Majlis Presiden MCA dua minggu lalu yang meluluskan cadangan pengambilalihan Nanyang Press oleh Huaren.

Ekoran daripada itu, Isnin lalu, Huaren menandatangani perjanjian untuk mengambil alih 41.84 juta saham bersamaan 73.35 peratus ekuiti dalam Nanyang dari Hume Industries dengan harga RM230 juta.

Mengulas lanjut, Dr. Ling berkata, walaupun akan memiliki Nanyang, MCA berjanji tidak akan campur tangan dalam polisi editorial akhbar-akhbar di bawah Nanyang Press Holdings berhad iaitu Nanyang Siang Pau dan China Press.

``Kita akan menyerahkan kepada pengurusan profesional mengendalikan akhbar tersebut bagi menjadikan ia sebagai sebuah akhbar yang berjaya, berkredibiliti, dipercayai dan bertanggungjawab.

``Apa yang paling penting ialah akhbar ini harus menjadi akhbar pembina bangsa dan mengambil berat rakyat miskin dan yang memerlukan bantuan,'' katanya.

Beliau yakin matlamat itu akan dapat dicapai kerana MCA yang juga memiliki akhbar The Star, telah berjaya menjadikan akhbar itu sebuah akhbar yang berjaya dan dipercayai.

Mengenai empat pemegang amanah Huaren yang perlu bersetuju sebelum pengambilalihan itu dapat disempurnakan, Dr. Ling berkata, perkara itu akan dijelaskan kemudian kerana ia agak kompleks.

Beliau juga enggan mengulas laporan keadaan kewangan Huaren termasuk dakwaan yang menyatakan Huaren hanya mempunyai RM7 juta dalam akaunnya.

Bagaimanapun, beliau mengesahkan bahawa Huaren dalam mendapatkan pinjaman bank untuk menjelaskan pembayaran bagi pelaburan tersebut.

Presiden MCA itu berkata, beliau juga akan menjelaskan dakwaan yang menyatakan urusan pengambilalihan itu bermotifkan politik dalam waktu terdekat ini.

Mengenai laporan bahawa beberapa pihak pengurusan tertinggi dalam kedua-dua akhbar itu diminta melepaskan jawatan, Dr. Ling berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai arahan supaya beberapa pihak melepaskan jawatan mereka.

``Bagaimanapun, adalah menjadi amalan biasa apabila sesebuah syarikat diambil alih, pihak pengurusan tertingginya akan berubah tetapi yang penting, lebih 99 peratus pekerja yang lain masih diperlukan,'' katanya.

Ditanya kemungkinan ada pihak yang akan memfailkan injunksi di mahkamah esok, beliau menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan keputusannya.

Beliau juga mengatakan bahawa MCA akan menjelaskan urusan pengambilalihan dua akhbar berbahasa Cina itu kepada ahli-ahli akar umbi supaya mereka memahami langkah parti itu.

Sementara itu, Timbalan Presiden MCA, Datuk Lim Ah Lek berkata, beliau menentang pengambilalihan itu kerana sebahagian besar masyarakat Cina tidak suka dengan pengambilalihan kedua-dua akhbar itu.

``Saya prihatin kerana saya sudah menjadi sebahagian daripada masyarakat Cina yang `diam' ini selama lebih 30 tahun.

``Walaupun mereka mendapat majoriti (dalam undian) tetapi saya telah menyatakan pandangan masyarakat Cina,'' jelasnya.

Bagaimanapun, beliau tidak melihat urusan itu akan memecahbelahkan parti kerana ia lebih kepada penentangan terhadap pelaburan yang dibuat oleh parti.

Mengenai kemungkinan beliau akan mengambil tindakan lain, Lim berkata, beliau akan memikirkannya.

Naib Presiden MCA, Datuk Chua Jui Meng pula berkata, pelbagai pandangan telah dikemukakan semasa mesyuarat hari ini dan akhirnya majoriti ahli jawatankuasa menyokong.

``Saya hanya sebahagian daripada mereka yang rasa prihatin dan saya telah melakukannya semalam,'' katanya ketika ditemui selepas mesyuarat itu.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum