Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 31 Mei 2001

FRU dipanggil reda ketegangan

KUALA LUMPUR 30 Mei - Polis Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa dipanggil bagi meredakan ketegangan antara penyokong MCA dan sekumpulan individu diketuai oleh Setiausaha Agung DAP, Kerk Kim Hock di hadapan Ibu Pejabat MCA, Jalan Ampang di sini, hari ini.

Kira-kira 20 anggota FRU dikejarkan ke tempat kejadian setelah dua orang pemuda yang masing-masing daripada kumpulan berlainan bertumbuk di pintu masuk bangunan berkenaan pada pukul 4.35 petang.

Sebelum kejadian itu, seramai 150 orang yang diketuai oleh Kerk telah berkumpul di hadapan bangunan berkenaan pada pukul 4.15 petang.

Mereka membawa kain rentang yang antara lain tertulis Bencana Kepada Masyarakat Cina sambil melaung-laungkan slogan menuntut kebebasan akhbar.

Ini adalah sebagai membantah cadangan MCA mengambil alih Nanyang Press Holdings Bhd. yang menerbitkan akhbar Nanyang Siang Pau dan China Press.

Penyokong MCA yang tiba 15 minit kemudian telah berkumpul di pintu masuk bangunan tersebut bagi menghalang kumpulan diketuai Kerk daripada memasuki bangunan terbabit.

Ini kerana, Jawatankuasa Pusat MCA dijadualkan mengadakan mesyuarat pada pukul 5 petang di bangunan terbabit.

Mesyuarat itu penting kerana 40 ahli jawatankuasa akan mengundi bagi menentukan sama ada parti itu akan meneruskan hasratnya atau tidak.

Ketegangan berlaku apabila terdapat sebahagian penyokong kedua belah pihak mengeluarkan kata-kata kesat terhadap satu sama lain.

Keadaan juga gamat dengan sorakan oleh kumpulan diketuai Kerk, setelah Timbalan Presiden MCA, Datuk Lim Ah Lek tiba pada pukul 4.40 petang bagi menghadiri mesyuarat terbabit.

Lim adalah mereka yang secara terbuka meluahkan rasa tidak bersetuju dengan langkah mengambil alih itu.

Kedua belah pihak kemudiannya bersurai pada pukul 6 petang setelah dinasihat oleh Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Dell Akbar Khan.

Tiada sebarang tangkapan dibuat.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum