Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 05 Jun 2001

DAP bantah hasrat Pas mahu dominasi pembangkang

KUALA LUMPUR 4 Jun - DAP akan membantah hasrat Pas jika ia mahu mendominasi pakatan pembangkang terutama dalam menentukan arah dan dasarnya, kata Setiausaha Agung DAP, Kerk Kim Hock.

Sebaliknya, tegas Kerk, yang menjadi keutamaan ketika ini ialah keempat-empat parti - Pas, DAP, Parti Keadilan Nasional (Keadilan) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) - perlu saling hormat-menghormati prinsip kesaksamaan.

``Saya rasa kalau Pas mahu menjadi tonggak dalam menggerakkan pakatan pembangkang dengan memberikan kekuatan dari segi keahlian (teramai), itu tak ada masalah.

``Tetapi jika hendak menjadi parti dominan bagi menentukan arah dan dasar pakatan pembangkang, itu bukan konteks yang harus diterima,'' katanya kepada Utusan hari ini.

Beliau mengulas gesaan Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub Sabtu lalu supaya Pas menjadi parti paling dominan dalam pakatan pembangkang.

Malah, antara lima usul yang diluluskan pada Muktamar Agung Pas ke-47 yang berakhir semalam ialah mahu pucuk pimpinan Pas menjadikan parti itu tonggak pakatan pembangkang.

Menurut Kerk, sepatutnya isu siapa parti paling dominan dalam pakatan pembangkang tidak timbul kerana DAP sentiasa menekankan bahawa semua parti perlu dilayan secara adil dan `semuanya sama kuat'.

Bagaimanapun, kata Kerk, DAP tetap akur bahawa parti yang mempunyai keahlian teramai dan wakil rakyat terbanyak di Parlimen akan secara automatik dikira sebagai `parti terbesar'.

``Bagaimanapun, dalam pakatan pembangkang tidak kira sama ada ia parti besar atau kecil, kerana polisi yang kita amalkan ialah semuanya sama dari segi kedudukan... semua ada suara dan boleh melontarkan suara secara adil,'' katanya.

Ketika diajukan bahawa perwakilan Pas semasa muktamar parti itu tidak menyetujui jika jawatan Perdana Menteri tidak disandang oleh presidennya, Datuk Fadzil Noor sekiranya pilihan raya memihak kepada pakatan pembangkang, Kerk berkata, DAP masih berpegang kepada janji pakatan pembangkang pada pilihan raya umum lalu bahawa calon yang layak ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, kata Kerk lagi: ``Biasanya (pemimpin) parti yang mempunyai ahli Parlimen teramai akan dilantik sebagai Perdana Menteri''.

``Takkanlah DAP tidak menghiraukan realiti dengan meminta pula (Pengerusi DAP Kebangsaan) Lim Kit Siang atau (Timbalan Pengerusi) Karpal Singh menjadi PM,'' katanya.

Apa pun, tegasnya, persoalan siapa kalangan wakil parti pembangkang yang layak menjadi Perdana Menteri tidak timbul ketika ini.

``Yang mustahak ialah tidak perlu ada parti dominan menentukan arah dan polisi pakatan pembangkang. Ini bukan satu hubungan yang sihat,'' katanya.

Pas kini menguasai 27 kerusi dalam Dewan Rakyat berbanding DAP (10), Keadilan (lima) manakala PRM tiada wakil.

Jawatan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat kini disandang oleh Fadzil.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum