Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 07 Jun 2001

Tahanan ISA: AS cuba campur tangan

KUALA LUMPUR 6 Jun - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan gesaan jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Richard Boucher supaya kerajaan membebaskan empat tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai mencampuri hal ehwal dalaman negara ini.

Tegas Timbalan Perdana Menteri, keamanan dan keselamatan negara ini adalah tanggungjawab kerajaan dan tindakan akan diambil terhadap sesiapa yang membuat sesuatu bertentangan undang-undang.

Bagaimanapun beliau mengingatkan, sesuatu tindakan yang dikenakan itu tidak dibuat secara seronok-seronok atau disengajakan sebaliknya ia mempunyai sebab-sebab yang wajar.

``Apa yang dikehendaki oleh Parlimen, itulah yang menjadi undang-undang yang kita pakai selama ini dan tahanan-tahanan di bawah ISA adalah mengikut undang-undang.

``Mereka (AS) cuba nak campur tangan dalam hal kita tetapi ada juga orang yang membuka pintu seronok merayu untuk dapatkan sokongan orang luar supaya mengganggu kerja kita dan hal berkaitan negara ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan dan Disiplin UMNO di sini hari ini.

Beliau mengulas gesaan Boucher hari ini supaya kerajaan membebaskan empat tahanan ISA yang dikenakan perintah tahanan dua tahun di Kem Kamunting, Perak atau membicarakan mereka di mahkamah.

Mereka ialah Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional (Keadilan), Mohamad Ezam Mohd. Noor, 34; Naib Presiden Keadilan, Tian Chua, 37; bekas aktivis pelajar, Hishamuddin Rais, 50, dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Perhimpunan Reformasi, Saari Sungib, 43.

Semua mereka dihantar ke Kem Kamunting petang Sabtu lalu selepas polis menerima surat perintah yang ditandatangani oleh Abdullah.

Abdullah yang juga Menteri Dalam Negeri menarik perhatian, realitinya tidak ada mana-mana negara di dunia mempunyai kebebasan mutlak.

Sebaliknya Malaysia, tegasnya, mewujudkan had dan sekatan tertentu menerusi undang-undang sebagai langkah menjaga keamanan dan keselamatan negara ini.

``Kita pentingkan suara ramai dan majoriti rakyat memahami ini dan minoriti rakyat pula masih heboh (mempertikaikannya).

``Tak ada negara di mana kebebasan untuk bercakap dan bertindak tak ada had. Semua ada hadnya,'' katanya.

Malah, Abdullah mengakui, tindakan yang diambil oleh kerajaan terhadap tahanan-tahanan ISA terbabit telah menjadikan keadaan dalam negara lebih aman dan tenteram berbanding dulu.

``Sebelum ini, macam-macam cakap ada demonstrasi jalanan yang menyusahkan rakyat. Hari ini, kita lega dan senang kerana tidak ada lagi tindakan-tindakan seperti ini,'' katanya.

Mengulas perancangan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang diketuai oleh sebuah badan bukan kerajaan, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) untuk mengadakan demonstrasi membantah penahanan empat tahanan ISA di kediaman beliau Sabtu ini, Abdullah berkata, beliau menyerahkan kepada polis untuk menanganinya.

``Sesuatu yang semua perlu ketahui ialah negara ini adalah demokrasi dan semua undang-undang dibuat oleh Parlimen yang diwakili oleh wakil rakyat yang dipilih dalam pilihan raya.

``Dan jika perhimpunan itu haram, tentulah tindakan akan diambil terhadap mereka,'' katanya.

Oleh: ZULKIFLI JALIL

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum