Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 07 Jun 2001

Puteri UMNO cabar Mahfuz

SHAH ALAM 6 Jun - Ketua penaja Puteri UMNO, Azalina Othman Said mencabar Ketua Dewan Pemuda Pas, Mahfuz Omar menunjukkan bukti bahawa sayap baru UMNO itu membuka kaunter di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam usaha menarik para mahasiswi.

Beliau berkata, kenyataan Mahfuz itu sama sekali tidak benar dan berunsur fitnah kerana Puteri UMNO tidak pernah membuka sebarang kaunter di universiti.

``Mereka perlu ada bukti sebelum membuat sebarang tuduhan dan kalau benar, buat laporan polis dan tunjukkan bukti. Kami juga sanggup bersemuka mengenai perkara ini,'' katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai hasrat Mahfuz membuka kaunter pendaftaran di semua IPTA di seluruh negara berikutan langkah Puteri UMNO bergiat dalam IPTA termasuk mengedarkan borang keahlian bagi membolehkan pelajar menyertai sayap baru itu.

Mahfuz dalam laporan akhbar mengatakan pihaknya akan membuat permohonan kepada universiti supaya Pas dibenarkan membuka kaunter bagi menerima ahli baru sama seperti apa yang dilakukan oleh Puteri UMNO.

Azalina berkata, Puteri UMNO tidak pernah mengarah barisan Exco dan ahlinya membuka kaunter di mana-mana universiti tetapi sering mengadakan kegiatan amal yang membabitkan pelajar universiti.

Menurutnya, beliau telah menghubungi Timbalan Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) berhubung perkara tersebut dan mendapati tiada sebarang aduan rasmi dibuat kepada universiti terbabit setakat ini.

Katanya, Puteri UMNO tidak akan menolak tawaran pelajar yang berminat menyertai kegiatan amal anjurannya kerana Puteri UMNO sendiri memang berhasrat menyemai nilai-nilai murni dalam jiwa golongan muda di negara ini.

``Lainlah kalau kami diberi kaunter istimewa. Tapi kalau kami tidak buat, jangan tuduh dan jangan biarkan Puteri menyaman mereka di mahkamah kerana menuduh kami.

``Kalau beliau (Mahfuz) nak buat tuduhan secara perkataan, saya juga boleh lakukan perkara yang sama tetapi saya tidak mahu kerana saya mempunyai tahap moral yang lebih tinggi,'' ujarnya.

Ditanya mengenai kritikan bekas Ketua Dewan Muslimat Pas, Senator Jamilah Ibrahim terhadap aktiviti Puteri UMNO, kata Azalina, Puteri lebih menitikberatkan tiga aspek iaitu pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan.

Beliau menambah, walaupun terdapat ahli-ahli Puteri di kalangan artis atau mereka yang tidak menutup aurat tidak bermakna mereka tidak bermaruah.

Azalina berkata, beliau akan mengumumkan barisan Exco barunya pada sidang akhbar di pejabat Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Selasa ini.

Oleh: NORZAILA ROSLI

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum