Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 07 Jun 2001

Daim boleh berperanan dalam kapasiti lain - Najib

KUALA LUMPUR 6 Jun - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak percaya Tun Daim Zainuddin yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan dan Bendahari UMNO masih boleh memainkan peranan untuk membantu parti dan kerajaan dalam kapasiti lain.

Justeru katanya, semua pihak harus menghormati keputusan Daim itu kerana ia merupakan keputusan peribadi pemimpin tersebut.

Najib menambah peletakan jawatan Daim sebagai Bendahari UMNO itu tidak akan menjejaskan parti dan ia masih mampu untuk menggerakkan pentadbirannya dengan baik walaupun kehilangan Daim.

``Kita akan teruskan pentadbiran parti dengan sebaik mungkin.

``Saya percaya Daim masih boleh memainkan peranan untuk membantu parti dan kerajaan dalam kapasiti lain,'' katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani kontrak program pengubahsuaian dua buah pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kepada pesawat tangki di sini hari ini.

Pada majlis itu, Kementerian Pertahanan diwakili oleh Ketua Setiausahanya, Datuk Hashim Meon manakala Airod Sdn. Bhd. diwakili Naib Presiden Kanannya, Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman.

Najib diminta mengulas peletakan jawatan Daim itu yang menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkuat kuasa serentak dengan peletakan jawatannya sebagai Menteri Kewangan pada 1 Jun lalu.

Selain jawatan tersebut, Daim turut meletakkan semua jawatannya yang lain dalam kerajaan seperti sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas.

Bagaimanapun, beliau mengekalkan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Merbok yang dimenanginya pada pilihan raya umum dua tahun lalu.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum