Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 08 Jun 2001

Keputusan pilihan raya negeri Sabah bagi Likas dibatal

KOTA KINABALU 8 Jun - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengisytiharkan keputusan pilihan raya negeri Sabah pada 1999 bagi kerusi Likas sebagai batal dan tidak sah kerana terdapat pengundi yang tidak wujud dalam daftar pemilih bagi kawasan itu.

Dalam satu keputusan yang dianggap mempunyai implikasi meluas, Hakim Datuk Muhammad Kamil Awang berkata, daftar pemilih 1998 bagi kawasan itu adalah tidak sah.

Katanya, berdasarkan keterangan saksi pada perbicaraan itu, beliau yakin terdapat pengundi yang tidak wujud atau apa yang disebut pengundi "hantu" di kawasan itu.

"Kewujudan pengundi bukan di kalangan warga negara dan pengundi hantu dalam daftar pemilih seperti yang disebut dalam perbicaraan, mungkin hanya bahagian kecil daripada sesuatu yang lebih besar," katanya dalam penghakiman setebal 29 muka yang dibacakan oleh Timbalan Pendaftar Ravinthran Paramaguru.

Muhammad Kamil berkata, tidak dapat dinafikan bahawa pendaftaran pengundi dalam daftar pemilih di Likas bercanggah dengan undang-undang.

"Tidak ada siapa termasuk jabatan atau institusi kerajaan, yang mengatasi undang-undang," katanya.

Muhammad Kamil membuat keputusan itu bagi membenarkan permohonan Dr Chong Eng Leong, calon Parti Bersatu Sabah (PBS) yang kalah di kawasan itu, yang meminta mahkamah mengeluarkan perintah untuk membatalkan keputusan pilihan raya berkenaan.

Bekas Ketua Menteri, Datuk Yong Teck Lee mempertahankan kerusi itu bagi Barisan Nasional dengan kelebihan 4,962 undi. Selain Chong, calon-calon lain ialah bekas Ketua Menteri, Datuk Harris Salleh; Zulkifli Lajah (Setia); Yahya Kassim (Pas); dan Saudin Kadis (Bebas).

Dalam petisyennya, Chong mendakwa antara lain, terdapat pemilih daripada kalangan bukan rakyat Malaysia yang mengundi di kawasan Likas kerana Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak mengeluarkan nama pengundi hantu dari daftar pemilih walaupun bantahan telah dibuat pada satu siasatan umum sebelum pilihan raya itu berlangsung.

Harris Salleh pula mengemukakan petisyen serupa dengan mendakwa bahawa pada pilihan raya 1999 itu, parti-parti telah memasang empat papan pameran di sekitar kawasan pusat mengundi Likas dan ini melanggari Akta Kesalahan-kesalahan Pilihanraya 1954.

Muhammad Kamil menyatukan kedua-dua petisyen itu pada 24 Ogos 1999.

Dalam penghakimannya, hakim berkata, hasil laporan yang kerap tersiar di akhbar, ramai yang tahu bahawa Sabah menghadapi masalah kebanjiran pendatang tanpa izin dari Filipina sejak beberapa tahun lepas.

"SPR seharusnya sedar mengenainya, dan apabila bantahan dibangkitkan seperti dalam kes ini, SPR patut mengadakan siasatan umum seperti yang dikehendaki oleh undang-undang pilihan raya.

"Pendedahan mengenai amalan penipuan seperti kewujudan banyak pengundi hantu memakan masa tetapi ia perlu dibuat jika kita mahu mempertahan dan mengekalkan amalan demokrasi di Malaysia.

"Sebagai pelaksana pilihan raya yang bebas dan adil, SPR bertanggungjawab melakukannya," kata Muhammad Kamil.

Jelaslah, katanya, kegagalan SPR bertindak mengadakan siasatan awam walaupun terdapat bantahan, tidak boleh diterima, dan dengan itu pengesahan daftar pemilih bagi kawasan Likas pada Disember 1998 adalah tidak berniat baik. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum