Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 08 Jun 2001

TPM minta MCA selesaikan segera isu Nanyang Press

KUALA LUMPUR 7 Jun - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta MCA menyelesaikan segera isu pengambilalihan Nanyang Press kerana jika isu itu berlarutan ia dikhuatiri menjejaskan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN).

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau dukacita dengan perpecahan yang berlaku dalam MCA sekarang ekoran isu tersebut.

``Saya dukacita dengan apa yang berlaku kepada MCA pada waktu ini. Nampaknya MCA sudah terbahagi kepada dua pihak dan masing-masing turun ke bawah hendak berkempen,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Perdagangan Industri Malaysia (ITM) 2001 di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas masalah yang timbul di dalam MCA berhubung pengambilalihan Nanyang Press, penerbit akhbar Nanyang Siang Pau dan China Press oleh syarikat pelaburan MCA, Huaren Management Sdn. Bhd., yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan beberapa pemimpin MCA.

Pemimpin terbabit termasuk Timbalan Presiden MCA, Datuk Lim Ah Lek, Naib Presiden, Datuk Chua Jui Meng dan Ketua Pemuda, Datuk Ong Tee Keat sebelum ini telah mengeluarkan beberapa kenyataan membantah pengambilalihan tersebut.

Mengulas lanjut, Abdullah meminta para pemimpin parti itu menghentikan pertelagahan yang timbul di kalangan mereka dan berusaha mencari jalan untuk menyelesaikannya.

Tambah beliau, kepimpinan MCA tidak seharusnya turut melibatkan ahli-ahlinya di peringkat akar umbi dalam perbalahan tersebut melalui kempen-kempen yang diadakan di peringkat bawah.

Abdullah yang juga Timbalan Pengerusi BN bagaimanapun berkata, krisis yang berlaku di dalam MCA itu tidak akan menjejaskan muafakat di dalam BN.

Bagaimanapun, katanya, ia mungkin akan memberikan kesan sekiranya sokongan masyarakat Cina terhadap BN terjejas berikutan isu tersebut.

Bagaimanapun beliau percaya dengan pandangan yang diberikan itu, MCA akan mengambil berat mengenainya dan berusaha

untuk menyelesaikan apa jua masalah yang wujud.

Ditanya apakah BN tidak akan campur tangan dalam isu itu katanya: ``Tidak, saya tidak fikir kita patut campur tangan mengenai keputusan yang dibuat oleh MCA tetapi parti itu sewajarnya sedar akan kesan tindakannya itu terhadap BN.''

Abdullah berkata, beliau percaya MCA berupaya mencari jalan untuk menyelesaikan masalah di kalangan pemimpinnya jika semua pihak bersedia untuk duduk dan berbincang mengenainya.

``Banyak perkara yang berlaku setelah mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA dahulu dan apa yang berlaku di peringkat akar umbi, saya percaya mereka lebih tahu,'' katanya.

Pada mesyuarat jawatankuasa pusat, dua minggu lalu, pemimpin-pemimpin MCA secara majoriti mengundi menyokong pengambilalihan itu dengan 32 ahli menyokong dan lapan menentang.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum