Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 09 Jun 2001

Keputusan Likas dibatal -- Mahkamah dapati wujud pengundi hantu pada pemilihan 1999

KOTA KINABALU 8 Jun - Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini mengisytiharkan keputusan pilihan raya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Likas yang diadakan pada tahun 1999 sebagai batal kerana terdapat pengundi hantu yang tidak wujud dalam daftar pemilih kawasan tersebut.

Hakim Datuk Muhammad Kamil Awang dalam penghakimannya berkata, daftar pemilih 1998 bagi kawasan tersebut adalah tidak sah.

Menurutnya, berdasarkan keterangan saksi, beliau yakin terdapat pengundi yang tidak wujud atau apa yang disebut sebagai `pengundi hantu' di kawasan DUN Likas.

``Kewujudan pengundi bukan di kalangan warganegara dan pengundi hantu dalam daftar pemilih seperti yang disebutkan dalam perbicaraan mungkin hanya bahagian kecil daripada sesuatu yang lebih besar,'' kata beliau.

Sehubungan itu, kata Hakim Muhammad Kamil, tidak dapat dinafikan bahawa pendaftaran pengundi dalam daftar pemilih di Likas bercanggah dengan undang-undang negara.

``Tidak ada sesiapa termasuk jabatan atau institusi kerajaan yang dapat mengatasi undang-undang,'' tegasnya.

Keputusan penghakiman secara bertulis setebal 29 muka surat itu dibacakan oleh Timbalan Pendaftar, Ravinthran Paramaguru.

Hakim Muhammad Kamil membuat keputusan tersebut bagi membenarkan permohonan calon Parti Bersatu Sabah (PBS), Dr. Chong Eng Leong, yang meminta mahkamah mengeluarkan perintah bagi membatalkan keputusan pilihan raya tersebut.

Pada pilihan raya negeri itu yang diadakan pada 12 Mac 1999, bekas Ketua Menteri, Datuk Yong Teck Lee, yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Likas setelah memperoleh 9,110 undi dengan kelebihan 4,962 undi.

Selain Chong turut bertanding di bahagian tersebut ialah Datuk Harris Salleh dari Parti Bersekutu, Zulkifli Lajah (Setia), Yahya Kassim (Pas) dan Saudin Kadis (Bebas).

Dalam petisyennya, Chong mendakwa terdapat pemilih daripada kalangan bukan rakyat Malaysia yang mengundi di kawasan Likas kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mengeluarkan nama pengundi hantu daripada daftar pemilih walaupun bantahan telah dibuat pada satu siasatan umum sebelum pilihan raya itu.

Sementara itu, seorang lagi calon yang juga bekas Ketua Menteri, Harris Salleh, turut mengemukakan petisyen serupa dengan mendakwa terdapat kegiatan bercanggah pada pilihan raya 1999 untuk DUN Likas.

Petisyen Harris itu mendakwa terdapat parti-parti telah memasang empat papan pameran di sekitar kawasan pusat mengundi Likas dan itu melanggar Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Hakim Muhammad Kamil telah menyatukan kedua-dua petisyen itu pada 24 Ogos 1999 sebagai penghakimannya.

Menurut beliau, hasil laporan yang kerap tersiar dalam akhbar orang ramai tahu bahawa Sabah menghadapi masalah kebanjiran pendatang tanpa izin sejak beberapa tahun lalu.

``SPR seharusnya sedar mengenainya dan apabila bantahan dibangkitkan seperti dalam kes ini, SPR patut mengadakan siasatan umum seperti yang dikehendaki oleh undang-undang pilihan raya,'' katanya.

Tambah beliau, pendedahan mengenai amalan penipuan seperti kewujudan banyak pengundi hantu memakan masa, tetapi ia perlu dibuat jika mahu mempertahankan dan mengekalkan amalan demokrasi di negara ini.

``Sebagai pelaksana pilihan raya yang bebas dan adil, SPR bertanggungjawab melakukannya,'' kata beliau.

Mengenai petisyen yang dikemukakan oleh Harris, Hakim Muhammad Kamil berkata, berdasarkan kepada seluruh keterangan, beliau mendapati Yong selaku responden telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 11 (c) dan (d) serta Seksyen 32 Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihan Raya.

Pada penutup penghakimannya, Hakim Muhammad Kamil berkata: ``Satu-satunya panduan kepada manusia ialah gerak hatinya, satu-satunya perisai kepada kemenangan ialah kejujuran dan keikhlasan dalam tindakannya.

``Pada pendapat saya kebijaksanaan seseorang itu dipersenda apabila diarah menerusi telefon agar petisyen-petisyen ini ditolak tanpa perbicaraan, dan disebabkan itu saya mendengar petisyen ini berbekalkan gerak hati.

``Tuhan telah memberi saya kekuatan dan ketabahan selaku seorang insan-Nya untuk bertindak tanpa takut atau memihak, dan dengan itu saya benar-benar bertindak sebagai seorang hakim dan bukannya seorang pak turut,'' tegas Muhammad Kamil.

Dalam pada itu, Chong pula menyifatkan keputusan tersebut sebagai kemenangan besar bagi rakyat Sabah dalam usaha membanteras kewujudan pengundi hantu.

Yong pula menegaskan, beliau menghormati keputusan Mahkamah Tinggi dan akan membuat penelitian sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Semasa perbicaraan, Chong diwakili oleh peguam Yunof Maringking dan Harris diwakili oleh peguam Ansari Abdullah.

Yong pula diwakili peguam Alexander Decena, P.K. Lim dan John Sikayun.

Yong kelihatan tenang sebaik sahaja menerima keputusan mahkamah tersebut dan sempat berjabat tangan dengan pencabarnya, Chong, ketika berada di luar mahkamah.

Bagaimanapun Harris tidak hadir di mahkamah.

Oleh: NAZERI NONG SAMAH dan WAN NORAZAH WAN CHIK

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum