Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 07 april 2001

Fadzil mahu muzakarah menjadi kenyataan

KUALA LUMPUR 6 April - Pas akan memastikan muzakarah Amanat Haji Hadi antara Majlis Fatwa Kebangsaan dengan Abdul Hadi Awang menjadi kenyataan, kata Presidennya, Datuk Fadzil Noor.

Katanya, isu sama ada Haji Hadi hadir sebagai ahli atau individu tidak penting diperbincangkan.

``Apa yang penting Abdul Hadi dan satu lagi pihak dapat bertemu menjayakan muzakarah tersebut.

``Abdul Hadi juga sudah bersedia untuk bertemu membincangkannya,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad semalam berkata, Abdul Hadi perlu dilibatkan dalam muzakarah itu kerana beliau yang mengeluarkan amanat itu.

Katanya, Pas dan Majlis Fatwa Kebangsaan perlu bermuzakarah kerana fatwa yang dikeluarkan oleh majlis itu sebelum ini menunjukkan salah satu punca kekeliruan masyarakat Islam ialah berkaitan Amanat Haji Hadi.

Isu Amanat Haji Hadi itu sekali lagi menjadi perbualan apabila Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Dr. Ismail Ibrahim bersedia mengadakan muzakarah.

Ini kerana dikatakan amanat itu adalah punca umat Islam di negara ini berpecah sejak 20 tahun lalu.

Semalam Ismail dalam kenyataannya, berkata, muzakarah itu akan diadakan pada bulan depan tetapi tarikh sebenar dan tempatnya masih belum ditetapkan.

Katanya, usaha itu juga akan dilakukan secara senyap-senyap dan tidak perlu dihebohkan melalui media.

Mengulas perkara tersebut, Fadzil yang mengalu-alukan langkah mengadakan muzakarah itu berkata, tempat dan bila akan diadakan tidak begitu penting.

``Terpulanglah pihak yang menganjur dan menguruskannya bila dan di mana akan diadakan,'' ujar beliau.

Fadzil berkata, apa yang penting perancangan untuk mengadakan muzakarah itu tidak terbantut di tengah jalan.

Oleh: NOR SEDEK ISMAIL

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi