Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 08 april 2001

Punca Dr. M tentang Pas -- `Pemimpin parti itu mahu gagalkan kemajuan umat Islam'


DR. MAHATHIR Mohamad bersalam dengan ahli-ahli UMNO bahagian Gua Musang sebelum beliau merasmikan persidangan perwakilan UMNO bahagian itu, di Gua Musang, semalam. - Gambar ROSNI MASRI.

GUA MUSANG 7 April - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, penentangan keras beliau terhadap Pas berpunca daripada usaha pemimpin parti itu yang mahu menggagalkan kemajuan umat Islam negara ini melalui tindakan yang bertentangan dengan ajaran agama.

Perdana Menteri menegaskan, Pas bukanlah parti Islam seperti yang didakwa oleh pemimpinnya, sebaliknya parti itu bertanggungjawab mengkhianati orang Islam.

Katanya, Pas sehingga kini masih dapat menipu pengikut-pengikutnya sehinggakan mereka menjadi taksub kepada parti itu malah tidak dapat diperbetulkan lagi.

``Kita terang macam mana pun kepada pengikut Pas, dia masih kata itu juga. Pengikut Pas kata dia betul, dia Islam. Sebenarnya dia jauh daripada Islam bahkan mengkhianati perjuangan orang Islam,'' katanya yang juga Presiden UMNO pada sidang akhbar selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO bahagian Gua Musang di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua UMNO bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah; Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Khalil Yaakob dan Ketua Penerangan UMNO yang juga Ketua Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed.

Dr. Mahathir juga mengingatkan ahli-ahli UMNO agar tidak terpedaya dengan hujah-hujah para pemimpin Pas dalam ceramah anjuran parti tersebut.

Beliau juga berkata, Pas tidak mempedulikan mengenai perundingan perpaduan orang Melayu seperti yang dicadangkan oleh UMNO malah lebih gemar berceramah dan memaki para pemimpin UMNO.

``Bila saya kata macam ini mungkin orang kata ini akan menjejaskan perjumpaan perpaduan orang Melayu. Tapi sepanjang masa kita (UMNO) berusaha mengadakan perundingan perpaduan ini, Pas mengecam kita sepanjang masa.

``Ceramah Pas satu hari sebanyak 100 ceramah, maki kita...kata kita (UMNO) macam-macam malah panggil saya Firaun,'' ujarnya.

Dr. Mahathir menegaskan, perbincangan yang dicadangkan cuma berkenaan dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan kepentingan orang Melayu.

``Jadi dalam perkara itu kita boleh bersatu, cuma bersatu dalam mengadakan pendirian. Sebab itu saya kata kita (UMNO) masih boleh terus bermusuh dengan Pas dan Pas pun boleh terus bermusuh dengan kita,'' ujarnya.

Pertemuan itu yang mulanya dijadualkan pada 19 Februari lepas tidak menjadi kenyataan apabila Pas mahu UMNO memenuhi tiga syaratnya.

Tiga syarat tersebut ialah supaya penerbitan organ rasmi Pas, Harakah, dikembalikan dua kali seminggu dan bayaran royalti minyak kepada kerajaan Terengganu dipulangkan.

Syarat ketiga, supaya UMNO tidak menerusikan rancangan ke arah menggugurkan perkataan `Islam' pada parti itu (Parti Islam Se-Malaysia) bagaimanapun tidak lagi timbul, berikutan keputusan Majlis Raja-Raja baru-baru ini membenarkan nama Islam digunakan pada pertubuhan atau persatuan.

Sementara itu ketika diminta mengulas ucapan Tengku Razaleigh yang mahu agar beliau meneruskan khidmatnya kepada parti dan negara, Dr. Mahathir berkata: ``Saya ucap terima kasihlah, saya ini dah tua sepatutnya pencen tetapi kalau orang suruh saya buat kerja, saya kerjalah. Kadang-kadang kena KSMlah...Kerja Sampai Mati.''

Sebelum itu dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata, Kelantan ketinggalan di segi pembangunan kerana ia ditadbir oleh pemimpin yang tidak cekap.

Menurutnya, Pas yang telah diberi peluang memerintah Kelantan sejak lebih 10 tahun lalu jelas gagal menjadikan negeri yang majoriti penduduknya Melayu sebagai contoh di segi pembangunan.

``Apa kejayaan Pas dalam membangunkan Kelantan? Kita akui mereka (pemimpin-pemimpin Pas) boleh membaca doa dan sebagainya, tetapi dalam pentadbiran mereka tidak ada pengetahuan,'' jelasnya.

Keadaan ini katanya, menyebabkan ramai cerdik pandai dan rakyat Kelantan berhijrah ke negeri lain untuk mencari peluang-peluang pekerjaan.

Menurut Dr. Mahathir, ketidakcekapan pemimpin Pas terbukti apabila mereka menentang langkah kerajaan tidak mendapatkan bantuan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam memulihkan ekonomi negara.

Beliau berkata, Malaysia sebenarnya telah memilih langkah yang betul kerana tidak meminjam dengan IMF sebagaimana negara jiran seperti Indonesia.

``Kalau negara salah menolak IMF, maka sudah tentu yang berhijrah (untuk mendapatkan peluang pekerjaan) adalah orang Malaysia ke Indonesia, bukan Indonesia ke Malaysia,'' tegasnya.

Sehubungan itu jelas Dr. Mahathir, pelaksanaan demokrasi adalah baik kerana ia memberi peluang kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang bakal memerintah, tetapi jika tersalah pilih mereka akan menerima padahnya.

Justeru kata beliau, rakyat Kelantan seharusnya memilih kerajaan dengan melihat rekod pencapaian mereka bukannya atas dasar sikap membenci.

Katanya, UMNO sebagai parti pemerintah mempunyai rekod terbaik yang berjaya membangunkan Malaysia sejak merdeka berbanding negara-negara seangkatan dengannya.

``Harap rakyat Kelantan terus membuat penilaian yang baik, tolak yang buruk. UMNO tidak akan salah guna kuasa untuk menindas orang yang lemah,'' ujarnya.

Untuk itu, Dr. Mahathir menyarankan agar setiap ahli UMNO terus berusaha mengembangkan parti itu kepada generasi muda yang dihasut oleh Pas.

``Tuan-tuan (ahli-ahli UMNO) mempunyai tanggungjawab berat bukan kepada parti, pemimpin tetapi kepada agama, bangsa dan negara,'' katanya.

Oleh: MEOR HARMAN MEOR SHAKRI dan YULPISMAN ASLI

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi