Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 08 april 2001

Layanan bukan istimewa - Penjara sedia hadapi isu baru Anwar

MUKADIMAH
ISU layanan istimewa yang diberikan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak beliau dimasukkan ke penjara pada tahun 1999 terus mencetuskan polemik di antara penyokongnya dan pihak kerajaan.

Ahli keluarga dan penyokong Anwar merasakan beliau tidak menerima layanan sewajarnya selaku bekas Timbalan Perdana Menteri, manakala, pihak kerajaan pula merasakan layanan terhadap Anwar sudah terlalu istimewa dan jarang diterima oleh banduan lain.

Pihak yang paling tertekan dan terperangkap dalam polemik ini adalah Jabatan Penjara kerana Anwar kini berada di bawah tanggungjawab mereka.

Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Omar Mohamed Dan mengakui mengenai dilema yang mereka lalui sejak Anwar dipenjarakan sehingga pelbagai tuduhan dilemparkan termasuk penjara zalim dan sebagainya.

Malah, Omar sendiri ketika diwawancara oleh wartawan MARZUKI YUSOFF dan AZIAN ABDUL AZIZ di Ibu Pejabat Jabatan Penjara di Kajang, kelmarin, turut mengakui bahawa tanggungjawab menjaga Anwar adalah sesuatu yang teramat berat.

``Kami telah berpengalaman dengan banyak banduan ternama tetapi Anwar telah meletakkan penjara dalam kedudukan yang amat sukar,'' katanya.

Dalam wawancara itu, Omar memperincikan mengenai layanan yang diterima oleh Anwar bagi membolehkan rakyat menilai adakah Anwar memang benar-benar menerima layanan istimewa atau sebaliknya?

Mingguan: Jabatan Penjara kini menjadi perhatian ekoran dakwaan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bahawa suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menerima layanan sewajarnya di penjara. Apa yang Datuk rasakan apabila tuduhan ini dibuat?

OMAR: Dakwaan yang mengatakan Anwar tidak menerima layanan yang sewajarnya adalah tidak tepat.

Saya rasa dukacita. Nampaknya peranan pegawai-pegawai penjara seolah-olah tidak dihargai langsung walaupun kami berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan tidak ada apa-apa berlaku ke atas beliau.

Anwar dilayan sebagaimana seorang banduan dan menerima haknya sebagaimana yang termaktub dalam Peraturan Penjara 2000 dan juga hak yang digariskan oleh United Nation Standard International Rules.

Jika Anwar menerima layanan istimewa, boleh Datuk jelaskan antara keistimewaan yang tidak dinikmati oleh banduan-banduan lain dan atas kriteria apa keistimewaan itu diberikan?

OMAR: Sebenarnya dalam proses mengawal banduan ini terdapat dua peraturan iaitu peraturan penjara dan peraturan perubatan sama ada daripada peraturan Jabatan Penjara atau di bawah Kementerian Kesihatan sendiri.

Berhubung diri Anwar dikatakan menerima layanan istimewa memang ada sedikit kelonggaran. Beliau diberikan beberapa kemudahan dan kelonggaran berbanding banduan lain atas fakta-fakta perubatan iaitu seperti lawatan oleh keluarga.

Ini termasuklah yang terbaru iaitu dibenarkan menziarahi ibunya yang sakit tenat dan juga menghadiri upacara sembahyang jenazah dan pengkebumian ibunya yang meninggal dunia.

Banduan lain juga ada diberi kelonggaran yang sama tetapi amat jarang sekali kita berikan.

Bagaimana pula dengan soal makanan dan tempat tinggal Anwar di penjara yang dikatakan lebih selesa daripada sel-sel menempatkan banduan biasa?

OMAR: Terdapat fakta yang kurang tepat dilaporkan oleh sesetengah media berhubung bilik khas yang menempatkan Anwar kerana ia sebenarnya turut diberikan kepada banduan-banduan lain misalnya yang akan menjalani hukuman mati, penyakit berjangkit seperti tibi, pondan, lelaki ditangkap khalwat dan sebagainya.

Mereka diberikan satu bilik seorang dan tidak diletakkan bercampur dengan banduan kategori lain dan banduan yang diletakkan di bilik khas iaitu satu bilik seorang itu dipanggil `Banduan Perhatian Khas.'

Antara banduan yang berada di bawah perhatian khas ialah Anwar, menteri-menteri (jika mereka dipenjarakan), hakim, pegawai mahkamah, peguam, pegawai-pegawai kerajaan dan pegawai polis.

Mengenai kemudahan katil untuk Anwar, memang Anwar dapat katil tetapi ia disediakan setelah diluluskan mengikut peraturan perubatan kerana dia sakit. Seperti juga banduan-banduan lain yang sakit, mereka juga mendapat katil.

Mengenai tempat wuduk, bilik air serta tandas dalam biliknya sekali, semua bilik penjara baru di Sungai Buloh dilengkapi dengan tandas, bilik air dan tempat wuduk. Ini fakta.

Sementara dari segi saiz pula, bilik penjara yang menempatkan Anwar sebenarnya mengikut saiz wad hospital jadi kita akui ia lebih besar daripada sel biasa. Ini kerana dia bukan duduk di dalam sel penjara tetapi di dalam wad penjara kelas satu kerana faktor kesihatannya.

Begitu juga dakwaan yang mengatakan bilik Anwar dilengkapi televisyen dan peti sejuk. Sebenarnya tak ada kerana telah dikeluarkan. Anwar juga pernah menolak televisyen atas alasan tertentu.

Pandangan Datuk sendiri, adakah apa yang diperoleh oleh Anwar itu boleh dianggap sebagai layanan istimewa?

OMAR: Sebenarnya soal layanan istimewa ini terletak pada persepsi masing-masing. Di penjara, ada banduan lain yang dapat kemudahan seperti apa yang Anwar dapat dan ada banduan lain yang tidak dapat.

Semua bilik sel penjara hanya ada tilam, manakala, bilik-bilik wad penjara ada katil berserta tilam kerana mengikut peraturan perubatan.

Mengenai soal makanan, kita tidak membezakan antara banduan kerana menu kita adalah ikan basah dan ikan kering tetapi dalam kes Anwar, makanan untuk beliau adakalanya berbeza kerana faktor kesihatannya.

Jika sekarang kita lihat Anwar mendapat makanan lebih baik, itu kerana ia menerima menu makanan untuk wad kelas satu di Hospital Kuala Lumpur.

Hanya satu yang mengecewakan saya, tidak ada satupun ucapan terima kasih bagi apa yang diberikan terhadap Anwar oleh kerajaan.

Ada pihak yang kurang bersetuju jika Anwar diberi terlalu banyak layanan istimewa termasuk rawatan perubatan kelas satu. Siapakah sebenarnya yang mengarahkan Anwar menerima keistimewaan tersebut?

OMAR: Kerajaan melalui Jabatan Penjara dalam hal-hal tertentu telah memberi beberapa kelonggaran yang tidak diterima oleh banduan lain seperti kekerapan berjumpa dengan keluarga semasa Anwar dimasukkan ke hospital.

Mendapat rawatan daripada pakar yang dipilih sendiri seperti pakar dari negara Jerman juga dibuat atas dasar peri kemanusiaan.

Layanan istimewa itu pula bergantung kepada keadaan kerana Anwar semasa mula-mula dimasukkan ke penjara, doktor telah mengesahkan dia tidak sihat, jadi dia terus ditempatkan di wad penjara dan dia tidak duduk di dalam sel.

Jadi Anwar menerima layanan banduan yang ditahan di dalam wad penjara dan bukan di sel penjara seperti yang diperuntukkan oleh peraturan.

Jadi mengenai kedudukan, penempatan di wad kelas satu, soal pemakanan dan sebagainya bukan di bawah bidang kami. Menentukan doktor dan lain-lain juga bukan bidang kuasa kami.

Bidang kuasa kami ialah mengawal Anwar.

Adakah banduan terhormat lain menerima pelbagai keistimewaan seperti yang dinikmati oleh Anwar?

OMAR: Sebenarnya banduan-banduan lain sama juga. Cuma oleh kerana Anwar ini popular di dalam dan di luar negara maka perkara-perkara layanan istimewa ini ditimbulkan oleh pihak-pihak tertentu di luar penjara.

Jadi pihak penjara benar-benar terikat dan tertekan seolah-olah layanan yang diterima oleh Anwar selama ini buruk.

Dalam kes Anwar, adakah beliau dikecualikan daripada menghadiri aktiviti dan program biasa pihak penjara seperti senaman, aktiviti lasak, perhimpunan dan sebagainya. Jika benar, kenapa harus ada pengecualian itu?

OMAR: Ya. Bukan semua banduan menghadiri aktiviti dan program-program yang kami tetapkan. Ini kerana banduan-banduan di bawah kategori `perhatian khas' tidak boleh mengikuti aktiviti tersebut dan tidak dibenarkan bekerja.

Jika banduan `perhatian khas' yang terdiri daripada bekas pegawai polis misalnya dibiarkan bercampur dengan banduan yang terdiri dari penjenayah yang mungkin pernah mereka tahan, apa akan jadi kepada bekas pegawai polis itu.

Begitu juga dengan banduan pondan dan mereka yang ditangkap kerana khalwat, kita tidak mahu mengambil risiko dengan membiarkan mereka bercampur dengan banduan lain. Faham-faham sajalah.

Jika bercampur dikhuatiri mereka akan dicederakan atau diapa-apakan. Disebabkan itu mereka terpaksa diasingkan.

Jadi kita ingin memastikan mereka termasuk Anwar sendiri selamat kerana jaminan kita kepada para banduan bahawa `mereka masuk selamat, keluar dari penjara pun selamat.'

Jadi maknanya Anwar terlepas daripada kehidupan biasa di penjara.

OMAR: Anwar ada juga program sendiri misalnya beliau ada juga main ping pong, joging di kawasan yang dikhaskan dengan dua tiga banduan yang telah dipilih untuk keselamatannya.

Ini bukannya layanan istimewa tetapi kelonggaran untuk memastikan keselamatannya.

Adakah pihak penjara menghadapi semacam tekanan setelah dituduh tidak memberikan layanan sewajarnya kepada Anwar?

OMAR: Anwar ini popular kerana dia bekas Timbalan Perdana Menteri.

Menjaga Anwar ini, hanya Tuhan saja yang tahu perasaan saya. Kalau jadi apa-apa kepada Anwar, kita kakitangan penjara akan gawat dan imej kerajaan serta negara akan tercemar.

Oleh kerana itu, menjaga Anwar ini memerlukan perhatian yang lebih bukan kerana beliau wajar mendapat keistimewaan tetapi kerana menjaga imej negara daripada diputar-belitkan oleh laporan berita yang tidak tepat seolah-olah penjara dan kerajaan zalim.

Adakah pihak penjara menghadapi masalah yang sama apabila berurusan dengan banduan kenamaan seperti Anwar apalagi tuduhan bahawa Anwar tidak mendapat layanan sewajarnya?

OMAR: Dahulupun ada orang-orang kenamaan dimasukkan ke penjara, malah Anwar pun pernah masuk sebagai tahanan ISA, tapi kita harus faham Anwar dulu dan Anwar sekarang. Dulu dia sebagai pelajar, sekarang dia sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas menteri kewangan.

Untuk berurusan dengan isu melibatkan Anwar, kita mengambil sikap berhati-hati. Saya simpati dengan nasib rakan baik saya, Tan Sri Rahim Noor iaitu bekas Ketua Polis Negara.

Sejak Anwar berada di penjara, Jabatan Penjara termasuk saya sendiri dilemparkan dengan pelbagai tuduhan yang sebelum ini jarang kami hadapi sehingga imej penjara, malah, saya didesak oleh Harakah untuk meletakkan jawatan.

Jadi perbezaan layanan kepada Anwar kerana ada pertimbangan di segi kedudukannya sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri?

OMAR: Berdasarkan pengalaman sebelum ini kami telah biasa menjaga menteri-menteri, wakil rakyat, orang kenamaan bergelar Tan Sri, Datuk, jutawan dan tahanan-tahanan ISA.

Segala-galanya tidak menjadi apa-apa perbezaan pada kami tetapi kami akui dalam kes Anwar, kami begitu tertekan.

Apalagi kemudahan yang Anwar atau keluarganya mohon pada masa sekarang?

OMAR: Buat masa ini tidak ada apa-apa permintaan. Tapi kalau dia minta pada pihak perubatan, kami tidak tahu.

Cuma kita telah mempertingkatkan kawalan terhadap Anwar semata-mata untuk memastikan segala-galanya berjalan dengan teratur untuk mengelakkan tohmahan dan tuduhan tidak berfakta seperti yang pernah dilemparkan oleh akhbar Harakah yang jelas satu pembohongan.

Setakat ini, adakah mana-mana keluarga banduan yang mempertikaikan perbezaan layanan istimewa yang diberikan terhadap Anwar?

OMAR: Secara rasminya tidak ada tetapi tuduhan di dalam internet terlalu banyak bagaimanapun semuanya tidak berfakta dan tuduhan melulu.

Pernahkah Anwar atau keluarganya sendiri datang berjumpa dengan Datuk atau menulis surat mengenai perkara melibatkan layanan istimewa?

OMAR: Anwar atau keluarganya tak pernah berjumpa saya, tetapi melalui surat melalui peguam mengenai layanan istimewa dari segi lawatan, itu ada. Tetapi kita tak dapat berbuat demikian, terpulang kepada pengurusan Penjara Sungai Buloh untuk menggunakan budi bicara mereka berdasarkan kuasa-kuasa tertentu.

Antara bentuk rungutan, komplen yang diterima selama ini, adakah dari Anwar sendiri atau dari keluarganya?

OMAR: Kedua-duanya sekali terutama sekali mengenai kawalan ketat.

Misalnya, kita mengehadkan waktu perjumpaan kepada 45 minit sahaja, jadi bila ramai anggota keluarga Anwar yang datang, mungkin ada rasa tidak puas hati kerana mereka terpaksa dipecah kepada kumpulan sehingga masa berjumpa bagi setiap kumpulan dihadkan. Selalunya akan berlaku kekecohan apabila kakitangan penjara bertugas memberi isyarat bahawa masa berjumpa sudah cukup.

Barangkali ada tanggapan daripada sesetengah rakyat yang mempercayai bahawa kehidupan banduan adalah teruk ekoran gambaran yang mereka lihat menerusi filem dan berita-berita mengenai kehidupan banduan di luar negara termasuk di Amerika Syarikat sendiri? Apa komen Datuk?

OMAR: Hendak mengatakan penjara-penjara di Malaysia teruk tak bolehlah dan kalau hendak dibandingkan dengan penjara luar, kita adalah antara yang terbaik di Asia.

Saya telah melawat banyak penjara di Asia Pasifik terutama Hong Kong, Kanada, Jepun, China dan yang terbaru Australia.

Saya dapati Jabatan Penjara Malaysia mempunyai sistem pengurusan terbaik di rantau ini dan buktinya ialah ramai pegawai penjara dari negara ASEAN datang untuk melawat sambil belajar ke penjara Malaysia seperti dari Kemboja, Vietnam, Brunei, Thailand dan Indonesia.

Tidak lama lagi 30 pegawai dari Timor-Timur akan datang berkursus di Maktab Penjara.

Orang luar tidak datang jika sistem kita tidak bagus dan ini adalah satu pertanda menunjukkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memperakui sistem kita.

Berbalik kepada soal perbezaan layanan antara banduan, adakah ia turut diamalkan di negara lain termasuk di negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah?

OMAR: Seperti yang saya katakan saya pernah melawat ke banyak penjara tetapi keadaan penjara kita boleh dikatakan memberi keselesaan kepada penghuni di dalamnya.

Tetapi majoriti di sesetengah negara Barat bukan di Asia, layanan di penjara mereka terlampau lebih. Setiap bilik banduan ada disediakan peti televisyen. Persoalannya, mampukah kita berbuat begitu?

Di penjara di Barat pula, makanan-makanan basah boleh dibawa masuk oleh isteri atau keluarga banduan dan dimasak oleh banduan berkenaan dengan tujuan mengurangkan kos yang ditanggung oleh kerajaan.

Kita tak buat begitu kerana keadilan kita terhadap banduan adalah sama walaupun semua kosnya akhirnya terpaksa ditanggung oleh kerajaan sendiri.

Lagi pula, apakah kita sanggup membiarkan suami atau isteri banduan datang untuk bersama pada satu-satu masa dalam satu bilik khas seperti diamalkan di sesetengah penjara Barat. Cara itu tidak sesuai dengan budaya dan agama kita.

Kalau hendak dibanding dengan penjara di negara luar seperti Brazil, misalnya, apa sudah jadi? Para banduannya sering merusuh.

Adakah kemudahan di penjara kepada banduan bertambah baik dari semasa ke semasa?

OMAR: Perubahannya terlalu banyak. Dulu, banduan terpaksa membuang air besar dalam bekas yang disediakan dalam sel mereka tetapi di Penjara Sungai Buloh, tandas dan tempat wuduk disediakan. Begitu juga dengan katil, tilam dan sebagainya.

Bagaimana dengan soal tekanan terhadap pegawai-pegawai dan anggota penjara yang ditugaskan mengawasi Anwar setelah beberapa peristiwa yang mencemarkan imej penjara?

OMAR: Memang kita akui peringkat ini kita berada dalam keadaan terlalu tertekan apalagi yang berurusan terus dengan Anwar.

Untuk memastikan keselamatan Anwar di hospital, kita tugaskan seramai 30 kakitangan yang bergilir-gilir secara tiga syif. Di dalam penjarapun sama, kita akan memastikan keselamatan Anwar benar-benar terjamin.

Pihak penjara sudah menerima tohmahan yang amat perit apabila timbul isu Anwar keracunan arsenik, suntikan HIV dan kini sakit tulang belakang. Kita ditohmah dalam internet dan sebagainya seolah-olah kita pihak penjara bersubahat untuk meracun Anwar.

Tetapi Tuhan menunjukkan kebenarannya bahawa kami menjalankan tugas secara profesional.

Kini, kita tidak tahu apalagi isu baru yang bakal tercetus nanti selama Anwar berada di penjara. Tetapi, kita sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Ada tanggapan di kalangan penyokong Anwar bahawa beliau sepatutnya menerima layanan lebih istimewa seperti ditempatkan di sebuah rumah khas dengan kemudahan mencukupi?

OMAR: Keluarga dan penyokong Anwar haruslah sedar dan berbaliklah kepada soal prinsip bahawa Anwar walau apapun kedudukannya dahulu, beliau kini adalah seorang banduan.

Kita tidak menghadapi masalah dengan banduan kenamaan atau banduan VIP yang lain kerana keluarga mereka berpegang kepada prinsip dan hakikat itu.

Kita tidak boleh mengelak bahawa kita hidup dalam negara yang ada peraturan dan undang-undang. Jika kita tidak mematuhi undang-undang dan peraturan itu, siapa lagi yang akan mematuhinya.

Masyarakat harus sedar dan memahami bahawa Anwar ialah banduan yang sedang menjalani hukuman yang telah ditetapkan oleh undang-undang negara. Bagaimanapun, hak asasinya sebagai banduan, akan sentiasa dijaga dan ini termaktub dalam perlembagaan.

Apakah harapan Datuk mengenai isu-isu penjara kini?

OMAR: Saya minta segala maklumat atau tohmahan terhadap penjara mestilah diselidiki dengan fakta dan ada usul periksa. Maknanya berita-berita mengenai penjara mesti berada pada landasan yang betul dan mempunyai unsur-unsur kebaikan bukan bersifat tohmahan dengan tidak ada justifikasi.

Rakyat wajar menghormati tugas kami yang kini mengawal 27,000 orang banduan agar orang ramai di luar penjara dapat tidur nyenyak dan melakukan aktiviti mereka tanpa rasa takut.

Apabila ada rasa aman, para pelabur asing boleh datang untuk melabur di negara kita, selain mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan itulah peranan pegawai kita di sebalik tembok besar dan berduri itu.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi