Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 09 april 2001

Minat kepada politik memang dah lama, kata Erra Fazira

KUALA LUMPUR 9 April - Penyanyi dan pelakon popular Erra Fazira berkata, minatnya dalam politik bukanlah perkara baru dan peluang menganggotai jawatankuasa penaja Puteri UMNO akan dijadikan medan terbaik untuk beliau mendalami bidang itu.

Katanya, beliau ditawarkan menjadi anggota exco penaja Puteri UMNO semalam dan telah pun mengadakan pertemuan dengan ketua penaja Azalina Othman.

"Selama ini, saya hanya ikuti (politik) dari belakang dan bila dapat peluang sebegini, saya akan cuba memberi yang terbaik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat pertama jawatankuasa penaja Puteri UMNO di sini hari ini.

Azalina sebelum itu mengumumkan barisan exco penaja Puteri UMNO dan juga ketua Puteri UMNO negeri.

Ketika ditanya apa yang dapat disumbangkannya kepada parti, Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chik, 27, berkata, beliau berharap pembabitannya dalam politik dapat menarik lebih ramai wanita muda menyertai Puteri UMNO.

"Saya masih perlu banyak belajar dan saya rasa bertanggungjawab untuk sama-sama membantu menyatupadukan orang Melayu," katanya.

Beliau juga yakin ramai rakan artis akan menganggotai UMNO memandangkan telah ada golongan artis yang berani menceburi bidang politik.

Kehadiran Erra pada mesyuarat itu menjadi tumpuan lebih 10 jurugambar yang sentiasa menghala lensa kamera ke arahnya.

Azalina pula berkata, pemilihan Erra dalam barisan exconya tepat kerana beliau mahu anggota exco Puteri UMNO terdiri pelbagai lapisan masyarakat daripada suri rumah sehinggalah kepada pemegang jawatan profesional seperti peguam.

"Kita lantik Erra kerana yakin dia mampu jalankan tugasnya dengan baik dan boleh menyuarakan pendapatnya dari perspektif seorang artis," katanya.

Anggota exco paling muda yang dilantik Syarifah Syahirah Syed Sheikh, 25, pula berkata minatnya yang mendalam dalam politik akan membantunya melaksanakan tugas dengan mudah.

"Saya amat meminati politik dan sejak belajar di UIA (Universiti Islam Antarabangsa) saya telah mengikuti perkembangan politik tanah air," kata Syarifah Syahirah yang baru saja tamat pengajian dalam jurusan sains politik di universiti itu.

Anak kelahiran Alor Setar ini kini bertugas secara sambilan sebagai koordinator projek di UIA.

Syarifah Syahirah berkata, golongan muda sekarang tidak gemar berpolitik mungkin kerana mereka merasakan tidak ada apa yang harus mereka perjuangkan lagi memandangkan kehidupan mereka telah sedia mewah.

"Ini yang harus kita ingatkan kepada golongan muda bahawa kemewahan yang dinikmati oleh mereka itu berpunca daripada pengorbanan dan perjuangan datuk-nenek kita dahulu," katanya. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi