Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 03 april 2001

Pas kekalkan dua syarat perbincangan penyatuan Melayu

KUALA LUMPUR 2 April - Pas tetap dengan keputusannya untuk mengekalkan dua syarat dalam usaha merealisasikan perbincangan penyatuan Melayu dengan UMNO.

Dua syarat Pas yang masih kekal ialah mengenai pemberian semula royalti minyak kepada kerajaan Terengganu dan mengembalikan semula hak penerbitan dua kali seminggu kepada organ Pas, Harakah.

Setiausaha Agungnya, Nasharudin Md. Isa berkata, pengekalan dua syarat itu dikemukakan kepada UMNO untuk dibincangkan di peringkat tertinggi parti itu.

``Dua status quo ini perlu dikembalikan semula kepada Pas dalam mesyuarat jawatankuasa teknikal seterusnya,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat peringkat jawatankuasa teknikal ketiga di Carcosa Seri Negara di sini, hari ini.

Dalam pertemuan itu nanti, UMNO mengemukakan empat agenda iaitu mengenai bahasa Melayu, hak keistimewaan orang Melayu, kedudukan raja-raja Melayu dan agama Islam.

Nasharudin seterusnya berkata, pihaknya akan membawa empat agenda yang dikemukakan oleh UMNO kepada peringkat tertinggi parti tersebut.

Menurut beliau, antara perkara yang diberi penekanan dalam mesyuarat hari ini termasuk untuk melahirkan suasana kondusif bagi merealisasikan pertemuan penyatuan berkenaan.

``Tiada syarat lain selain daripada dua syarat Pas dan empat agenda UMNO,'' tambahnya.

Beliau memberitahu, isu Amanat Haji Hadi tidak dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa teknikal tersebut.

Dalam pada itu, Nasharudin memberitahu, tarikh dan tempat pertemuan jawatankuasa berikutnya belum ditetapkan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi