Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 09 april 2001

Muzakarah perlu bebas dari unsur politik

KUALA LUMPUR 8 April - Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Dr. Ismail Ibrahim berkata, muzakarah mengenai Amanat Haji Hadi hendaklah bebas daripada sebarang unsur politik.

Katanya, muzakarah tersebut perlulah diadakan tanpa syarat dan menyentuh isu agama serta kepentingan ummah sahaja.

``Jangan jadikan ia isu politik, jadikan ia isu agama, saya setuju berjumpa pun kerana isu agama, jika isu politik bagilah kepada orang politik,'' katanya kepada Utusan selepas majlis tahlil dan doa selamat di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) malam tadi.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin.

Dr. Ismail diminta mengulas mengenai perkembangan terbaru mengenai muzakarah yang dicadangkan diadakan bulan depan bagi menyelesaikan isu Amanat Haji Hadi yang dikatakan punca masalah akidah dan perpecahan umat Islam di negara ini sejak 20 tahun lalu.

Utusan dalam laporan muka depan semalam menyatakan muzakarah itu dijangka diadakan bulan Mei ini dan ia akan melibatkan sama ada IKIM atau Majlis Fatwa Kebangsaan dengan Pas.

Dr. Ismail berkata, beliau masih menunggu perkembangan terbaru berhubung dengan penentuan tarikh, masa dan tempat muzakarah itu.

Katanya, beliau akan berhubung secara rasmi dengan Menteri Besar Terengganu, Abdul Hadi Awang sebelum menentukan tarikh pertemuan serta agenda-agenda yang akan dibincangkan pada muzakarah itu.

Mengenai keahlian muzakarah tersebut pula, beliau berkata, ia masih belum ditentukan.

Ditanya sama ada beliau perlu mendapatkan pandangan atau persetujuan ahli-ahli Majlis Fatwa Kebangsaan, Dr. Ismail yang juga Ketua Pengarah IKIM berkata, beliau tidak perlu berbuat demikian.

Dr. Ismail berkata, beliau bersedia menjadi wakil dalam muzakarah itu ialah di atas sifat sama ada sebagai Pengerusi Majlis Fatwa atau Ketua Pengarah IKIM.

``Apa yang lebih penting ialah untuk mencari kebaikan (penyatuan ummah),'' katanya.

Beliau berharap supaya pertemuan itu dapat diadakan secepat mungkin dan tidak akan menghadapi pelbagai halangan.

``Berdoalah, mudah-mudahan perkara ini selesai,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi