Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 10 april 2001

Puteri UMNO mahu tarik keahlian 1.5 juta


GANDINGAN MANTAP... Azalina Othman (duduk tengah) menunjukkan senarai penuh barisan Exco Pusat Puteri UMNO yang dilantiknya semalam. Antara senarai nama yang disahkan termasuklah artis popular Erra Fazira. Erra Fazira (berdiri tiga dari kiri) bersama-sama barisan Exco Pusat Puteri UMNO di Ibu Pejabat UMNO, Kuala Lumpur semalam. - Gambar ZAINI HUSIN.

KUALA LUMPUR 9 April - Puteri UMNO akan menjalankan siri kempen ke seluruh negara bagi menarik 1.5 juta wanita muda Melayu menganggotainya.

Ketua penajanya, Azalina Othman Said berkata, Jawatankuasa Penaja Puteri UMNO yang diterajuinya akan mengadakan road show dan mengedarkan borang keahlian ke seluruh negara dalam usaha mencapai sasaran tersebut.

Menurut beliau, pihak akan bekerjasama dengan Pergerakan Wanita UMNO peringkat negeri yang berkenaan untuk menambah keahlian.

``Kita sedang merangka strategi untuk menarik lebih ramai golongan wanita muda untuk menyertai Puteri UMNO,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengumumkan empat anggota Exco Pusat dan 11 Ketua Puteri UMNO negeri pada mesyuarat pertama jawatankuasa penaja Puteri UMNO di Ibu Pejabat UMNO di sini, hari ini.

Empat anggota Exco terbabit ialah Noor Liza Abu Hassan, Hamiza Mat Tahir, Sharifah Syahirah Syed Sheikh dan Fazira Wan Chik yang lebih dikenali sebagai Erra Fazira.

Lapan Ketua Puteri UMNO negeri turut dilantik ialah Bibi Shazliza Mohd. Taib (Negeri Sembilan), Norasmah Mohd. Nawawi (Perak), Rosfinah Rahmat (Melaka).

Hazlina Jalil dilantik sebagai Ketua Puteri UMNO Johor, Azlina Mehtab Mohd. Ishaq (Pulau Pinang), Nordiana Shafie (Terengganu), Rosnah Abdul Rashid Shirlin (Sabah) dan Nora Azmin Mohd. Radzuan (Selangor).

Tiga lagi Ketua Puteri UMNO ialah Azlinda Mohd. Rashad (Wilayah Persekutuan), Norlina Ahmad (Kelantan) dan Marzita Mansor (Perlis).

Azalina yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO memberitahu, dua lagi Ketua Puteri UMNO negeri yang belum dilantik ialah Pahang dan Kedah.

Sementara itu, Mastina Abdul Hamid dilantik sebagai Ketua Penerangan, Noraini Ahmad (Penolong Setiausaha) dan Raja Emylia Raja Lope Ahmad (Penolong Bendahari).

Beliau juga mengumumkan pejabat Puteri UMNO iaitu di Tingkat 37, Ibu Pejabat UMNO di sini.

``Setiausaha Kerja bagi pejabat itu akan diumumkan kemudian,'' katanya.

Azalina berkata, pelantikan ketua-ketua Puteri UMNO negeri dibuat selepas dipilih oleh Wanita UMNO peringkat negeri.

Beliau memberitahu, Jawatankuasa Penaja Puteri UMNO sedang merangka strategi untuk menarik lebih ramai golongan wanita muda untuk menyertai Puteri UMNO.

Sebagai prosedur biasa, jelas beliau, pihaknya akan mengadakan kunjungan hormat kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan Timbalannya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

``Seterusnya, kita akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Rafidah Aziz dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Hishammuddin Tun Hussein,'' jelasnya.

Antara aktiviti utama yang akan dijalankan ialah mengadakan kursus bina semangat kepada barisan Exco dan ketua-ketua Puteri UMNO negeri.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi