Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 10 april 2001

UMNO ada bukti Pas haramkan wang ihsan

KUALA TERENGGANU 9 April - Badan Perhubungan UMNO negeri hari ini mengeluarkan bukti mempertahankan kenyataan Timbalan Pengerusinya, Datuk Idris Jusoh bahawa beberapa pemimpin Pas pernah mendakwa penggunaan hasil wang ihsan adalah haram.

Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO negeri, Mohd. Nasir Ibrahim Fikri berkata, dakwaan itu turut dikeluarkan oleh portal rasmi Pas, HarakahDaily.Com (http://www.harakah daily.com /okt/m13 okt 2000-4.shtm1) yang memetik ceramah Pengerusi Jawatankuasa Hisbah dan Tugas-tugas Khas, Tun Salleh Abbas.

Salleh dipetik oleh laman web tersebut sebagai berkata, wang royalti minyak yang dikenali sebagai wang ihsan oleh Kerajaan Pusat sekarang disifatkan sebagai duit haram kerana melanggar perjanjian di antara Petronas dan Kerajaan Terengganu.

``Mereka yang menggunakan wang tersebut mungkin akan menjadi buncit perut kerana menerima duit haram,'' kata Salleh dalam laman web itu.

Ceramah itu disampaikan di Pusat Tarbiyah Islamiah di Pengkalan Chepa, Kelantan pada 13 Oktober tahun lalu.

Sehubungan itu, Mohd. Nasir membidas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Zahari Mohamed yang mendakwa kononnya Idris mereka-reka cerita mengenai perkara tersebut.

``Kita meminta Pejabat Menteri Besar Terengganu menyiasat dahulu sebelum membuat kenyataan supaya tidak meneruskan pembohongan dan kekeliruan kepada rakyat,'' katanya.

Menurut Mohd. Nasir ia tidak boleh ditutup dengan mudah, sekadar membuat penafian bahawa segala dakwaan adalah fitnah.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Zahari dalam Utusan hari ini yang menafikan Pas pernah membuat kenyataan bahawa wang ihsan haram sebaliknya mendakwa ia diada-adakan bagi memburukkan Pas dan pemimpinnya.

Idris dilaporkan berkata, pemimpin Pas menyebarkan kenyataan baru dalam ceramahnya bahawa pemberian wang ihsan menggantikan royalti adalah haram.

Menurut Idris, ucapan itu dikeluarkan semata-mata untuk kepentingan politik kerana Amanat Haji Hadi sudah memakan diri kerana turut dipersoalkan oleh penyokong Pas.

Tambah Mohd. Nasir, UMNO Terengganu sedang mengumpul beberapa kenyataan lagi dari pemimpin Pas Terengganu yang membuat kenyataan bahawa wang ihsan adalah haram.

Tindakan itu, katanya, bagi menjelaskan kepada rakyat betapa Pas sentiasa berusaha menyembunyikan kelemahan dan kesilapan sendiri dengan melemparkan setiap kesalahan kepada orang lain terutama kepada UMNO.

Oleh: JAMDI NASIR

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi