Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 11 april 2001

Gerakan Aktivis Reformasi dikenalpasti mahu cetuskan demonstrasi ala militan - Norian Mai

KUALA LUMPUR 11 April _ Satu kumpulan yang dikenali sebagai Gerakan Aktivis Reformasi cuba mempengaruhi rakyat mencetuskan demonstrasi ala militan untuk menggulingkan kerajaan menjelang Pilihanraya Umum 2004, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai.

Norian yang berkata demikian pada sidang akhbar khas di Bukit Aman hari ini menjelaskan, untuk merealisasikan perancangan tersebut, satu kumpulan sulit yang dianggotai oleh kira-kira 20 aktivis telah ditubuhkan di Kuala Lumpur.

Menurut beliau, sejak 6 Januari hingga 4 April lalu, sebanyak 12 perjumpaan sulit telah diadakan di ibu negara oleh kumpulan ini bagi merancang mempengaruhi rakyat bagi membudayakan demonstrasi jalanan dan perhimpunan haram secara militan.

``Antara perancangan terpenting kumpulan itu ialah mengadakan demonstrasi jalanan yang dipanggil `Black 14' secara besar-besaran di ibu negara Sabtu, ini.

``Bagi mengelirukan pihak keselamatan, perhimpunan tersebut dipanggil `Perhimpunan Penyerahan Memorandum Rakyat Mengenai Hak Asasi Manusia' di mana mereka merancang untuk mengumpulkan seramai 50,000 orang yang akan berhimpun di ibu negara.

``Perhimpunan serta perarakan ini berpotensi menjadi rusuhan,'' tegas beliau.

Sehubungan itu kata beliau, pada 10 dan 11 April, lalu pihak polis telah menahan tujuh aktivis reformasi di bawah Seksyen 73 (1) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 untuk menyiasat sejauh mana penglibatan mereka dalam rancangan gerakan ini.

Mereka yang ditahan ialah Mohamad Ezam Mohd. Noor, 34, Chua Tian Chang, 37, Hishamuddin Rais, 50, Saari Sungip, 43, N. Gobala krishnan, 41, Raja Petra Raja Kamarudin, 49, dan Abdul Ghani Haroon, 36 tahun.

Jelas Norian, pihak polis akan membuat beberapa lagi tangkapan untuk siasatan kes yang sama.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi