Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 11 april 2001

Lima ditahan bawah ISA -- Disyaki berkomplot rancang demonstrasi jalanan secara besar-besaran

KUALA LUMPUR 10 April - Lima aktivis reformasi termasuk Ezam Mohd. Noor, yang disyaki sedang berkomplot merancang demonstrasi jalanan secara besar-besaran ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) petang ini.

Dipercayai lebih ramai lagi akan ditahan malam ini.

Polis mengesahkan penangkapan itu di bawah ISA dan memberitahu maklumat lanjut mengenai penahanan itu akan dijelaskan esok.

Selain Ezam yang merupakan Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional (Keadilan), turut ditahan ialah Hishamuddin Rais, Naib Presiden Keadilan, Tian Chua, pengerusi jawatankuasa penganjur perhimpunan itu, Sa'ari Sungib dan Setiausaha Pemuda Keadilan, N. Gobala Krishnan.

Ezam ditahan ketika berada di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada kira-kira pukul 4.30 petang.

Hishamuddin pula ditahan di pejabatnya di Bangsar Utama pada kira-kira pukul 5 petang, diikuti dengan penahanan Tian Chua di pejabatnya di Lorong Kurau di Bangsar pada kira-kira pukul 5.15 petang.

Polis kemudiannya turut menahan Sa'ari di rumahnya di Ampang pada kira-kira pukul 5.45 petang.

Sementara Gobala Krishnan ditangkap di Simpang Sembilang, Langkawi pada pukul 11.30 malam ini.

Difahamkan, mereka yang ditahan itu dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Menurut sumber, lima aktivis reformasi itu ditahan selepas polis mendapat maklumat mereka sedang berkomplot mempertingkatkan demonstrasi secara besar-besaran menjelang musim pilihan raya umum tahun 2004.

Kata sumber itu lagi, penahanan itu dibuat di bawah Seksyen 73 (1) ISA yang tidak memerlukan waran tangkap dikeluarkan.

Di bawah seksyen itu mereka boleh ditahan sehingga 60 hari bagi siasatan berhubung kegiatan mereka yang boleh memudaratkan keselamatan negara. Jika siasatan menemui bukti berhubung penglibatan mereka dalam komplot itu, polis akan membuat cadangan kepada Menteri Dalam Negeri supaya mereka ditahan di bawah Seksyen 8 ISA selama dua tahun.

Sementara itu, mengikut kenyataan yang dikeluarkan oleh laman web Reformasi, Tian Chua dan Hishamuddin yang ditahan itu merupakan antara sembilan ahli jawatankuasa yang akan menganjurkan perhimpunan besar-besaran pada 14 April ini.

Selain mereka, jawatankuasa itu menurut laman itu turut dianggotai oleh Abdul Malek Hussin, Norazimah Mohd. Nor, Nasir Md. Isa, Azwandin Hamzah, Tan Soi Kow dan Fadil Abu Bakar.

Sembilan ahli jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Sa'ari itu dikatakan bergerak aktif untuk menjayakan perhimpunan itu dengan turut menyeru rakyat di seluruh negara menyertai perhimpunan yang tidak mendapat permit.

Bagaimanapun, Ezam yang tidak terlibat dalam jawatankuasa tersebut turut ditahan kerana dipercayai terbabit menguruskan perjalanan perhimpunan tersebut.

Pada perhimpunan itu, Jawatankuasa Memorandum Rakyat merancang untuk mengadakan tiga program iaitu ceramah perdana bertajuk Hari Memperingati Kezaliman di Markas Tarbiyyah Pas Taman Melewar, Batu Caves pada pukul 9 malam, 13 April ini.

Sementara itu, Majlis Penyerahan Memorandum Rakyat Kepada Suhakam di pejabat Suhakam dan Konvensyen Ekonomi Pemuda Barisan Alternatif bertajuk Ekonomi dan Masa Depan Negara di Auditorium Angkasa, Kelana Jaya akan diadakan pada pukul 10 pagi, 14 April ini.

Antara isi kandungan memorandum bertajuk Pertahankan Hak Asasi itu, antaranya menyentuh mengenai hak-hak asasi.

Oleh: TEON EG dan SUFFIAN ABU BAKAR

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi