Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 11 april 2001

Puteri UMNO perlu wanita luar bandar


ABDULLAH Ahmad Badawi menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Penaja Puteri UMNO yang diketuai oleh Azalina Othman Said (dua dari kanan) di Petaling Jaya semalam.

PETALING JAYA 10 April - Golongan wanita muda di kawasan luar bandar diseru menyertai Puteri UMNO supaya pengaruh sayap baru parti pemerintah itu lebih menyeluruh ke seluruh negara.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, penglibatan masyarakat luar bandar dalam pergerakan Puteri UMNO adalah penting bagi keutuhan UMNO.

Sehubungan itu, menurut beliau, Puteri UMNO perlu bekerjasama dengan Pergerakan Wanita UMNO dalam usaha menarik masyarakat luar bandar kerana pergerakan itu mempunyai pengaruh kuat di kawasan tersebut.

``Mereka yang tinggal di kawasan desa perlu melibatkan diri dalam Puteri UMNO kerana peranan mereka adalah penting,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis kunjung hormat Jawatankuasa Penaja Puteri UMNO yang diketuai oleh Azalina Othman Said di sini, malam ini.

Semua barisan Exco dan ketua Puteri UMNO negeri hadir pada majlis tersebut kecuali Exco Pusat, Fazira Wan Chik atau Erra Fazira dan Syarifah Shahirah Syed Sheikh.

Pelantikan semua ahli jawatankuasa penaja itu diumumkan oleh Azalina semalam.

Mengulas lanjut, Abdullah yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau tidak mahu melihat Puteri UMNO hanya dikuasai oleh satu golongan terutama profesional di kawasan bandar.

Menurut beliau, keahlian sayap baru UMNO itu terbuka kepada semua pihak dari golongan profesional atau pekerja biasa.

Mengulas pelantikan pelakon dan penyanyi, Erra sebagai Exco Pusat, katanya, gandingan golongan profesional dan artis akan memantapkan lagi pergerakan sayap baru parti pemerintah itu untuk menarik lebih ramai generasi muda menyertai UMNO.

Jelas beliau, setiap golongan tersebut mampu memainkan peranan untuk menarik generasi muda yang mewakili golongan masing-masing.

``Setiap daripada mereka perlu bekerjasama menjayakan matlamat penubuhan Puteri UMNO,'' katanya.

Pelantikan Erra sebagai Exco, katanya, adalah berdasarkan kelayakannya dari segi umur dan sumbangannya kepada masyarakat.

Dalam pada itu, tambahnya, UMNO meletakkan harapan yang tinggi terhadap penubuhan Puteri UMNO yang bermatlamatkan menarik lebih ramai generasi muda.

Oleh: YUSRI SAHAT

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi