Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 11 april 2001

Salleh tetap pertahan wang ihsan Pusat haram

KUALA LUMPUR 10 April - Pengerusi Jawatankuasa Hisbah dan Tugas-Tugas Khas Terengganu, Tun Salleh Abbas berkata, beliau tetap dengan pendirian bahawa wang ihsan yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat kepada negeri itu haram digunakan oleh para penyokong Pas.

Tegas beliau, melainkan wang itu diperuntukkan kepada kerajaan Pas Terengganu yang kemudian disalurkan semula kepada penduduk negeri itu, barulah ia boleh ditakrif sebagai `halal'.

``Duit haram maknanya tidak sah dari segi undang-undang sebab Petronas dan Kerajaan Pusat sudah merampas duit itu dari kerajaan Pas Terengganu.

``Oleh itu para penyokong Pas diharamkan menggunakan wang ihsan itu kecualilah jika duit itu disalurkan oleh kerajaan negeri. Itu tak ada apa-apalah,'' katanya kepada Utusan ketika dihubungi di Terengganu hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Badan Perhubungan UMNO Terengganu semalam yang mengeluarkan bukti mempertahankan kenyataan Timbalan Pengerusinya, Datuk Idris Jusoh bahawa beberapa pemimpin Pas pernah mendakwa penggunaan hasil wang ihsan adalah haram.

Menurut Ketua Penerangan badan perhubungan UMNO negeri, Mohd. Nasir Ibrahim Fikri, dakwaan itu turut dikeluarkan oleh portal rasmi Pas, HarakahDaily.Com (http:www.harakahdaily.com/okt/m13 okt. 2000-4.shtm1) yang memetik ceramah Salleh.

Salleh dipetik oleh laman web tersebut sebagai berkata, wang royalti minyak yang dikenali sebagai wang ihsan oleh Kerajaan Pusat sekarang disifatkan sebagai duit haram kerana melanggar perjanjian di antara Petronas dan kerajaan Terengganu.

Tegas Salleh lagi dalam laman web itu: ``Mereka yang menggunakan wang tersebut mungkin akan menjadi buncit perut kerana menerima duit haram''.

Penjelasan Mohd. Nasir itu sebagai menjawab kenyataan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Terengganu, Zahari Mohamed yang mendakwa kononnya Idris mereka-reka cerita mengenai perkara tersebut.

Mengulas lanjut, Salleh berkata, beliau tidak ingat butiran ucapannya semasa memperkatakan isu itu termasuk ada menyebut perkataan ``buncit perut''.

Tegas beliau, pendiriannya tetap tidak berubah bahawa wang ihsan itu haram digunakan oleh para penyokong Pas.

``Wang itu haram sebab ia dirampas daripada kerajaan Terengganu. Ia mudah sahaja (untuk difahami semua orang)... ini orang politik membuatnya berpusing-pusing (sukar difahami),'' katanya.

Ditanya adakah kerajaan Pas Terengganu juga tidak akan menggunakan wang ihsan tersebut, Salleh berkata: ``Saya tidak tahu. Kita tunggu sahaja tindakan undang-undang yang sedang diambil oleh Pas mengenai isu ini di mahkamah''.

Oktober tahun lalu, kabinet meluluskan peruntukan sebanyak RM460 juta yang disalurkan kepada pembangunan rakyat Terengganu melalui program pembiayaan wang ihsan.

Daripada jumlah itu, RM130 juta untuk sektor pendidikan, RM50 juta (sektor pertanian dan perikanan), RM50 juta (program khas pembangunan usahawan), RM150 juta (program khas pembangunan sektor luar bandar) dan RM80 juta bagi program khas rakyat miskin.

Melalui program pembiayaan wang ihsan itu juga, Kementerian Luar Bandar menerima RM180 juta bagi melaksanakan program khas pembangunan sektor luar bandar dan program khas rakyat miskin untuk rakyat Terengganu dalam tahun 2000/2001.

Program berkenaan diperkenalkan oleh Kementerian Kewangan pada September tahun lalu dengan membentuk Jawatankuasa Peringkat Pusat (JPP) untuk menguruskan pembayaran wang ihsan kepada rakyat Terengganu yang tidak lagi disalurkan terus kepada kerajaan negeri.

Keputusan itu dibuat selepas Kerajaan Persekutuan tidak memperoleh maklumat atau keterangan mengenai program penggunaan wang yang telah diterima oleh kerajaan negeri sebanyak RM432 juta pada Februari tahun itu.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi