Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 13 april 2001

Pas tidak sokong demonstrasi jalanan, kata Nik Aziz

KOTA BHARU 13 April - Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau tidak bersetuju dengan demonstrasi jalanan seperti yang dirancang untuk diadakan secara besar-besaran esok.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Pas awal-awal lagi tidak bersetuju dengan demonstrasi kerana negara ini mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen.

"Tunjuk perasaan seperti itu berlawanan dengan sistem demokrasi yang sudah diamalkan sejak sekian lama", katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Pejabat Pas di sini hari ini.

Nik Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penahanan tujuh orang aktivis reformasi mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berikutan cadangan pihak tertentu pembangkang untuk mengadakan demonstrasi jalanan secara besar-besaran esok.

Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, tangkapan itu bertujuan mengelakkan daripada berlakunya demonstrasi yang akan membawa kepada keganasan dan kemusnahan.

Nik Aziz berkata, kerajaan pusat sepatutnya memberi lebih banyak kebebasan bersuara kepada parti-parti pembangkang supaya bertepatan dengan amalan sistem demokrasi.

Katanya, adalah tidak bertepatan dengan sistem itu sekiranya parti-parti pembangkang tidak dibenarkan menunjuk perasaan dan pada masa yang sama tidak juga diberi kebebasan bersuara. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi