Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 13 april 2001

Warga kota dinasihat tidak sertai perhimpunan esok

KUALA LUMPUR 13 April - Polis menasihatkan warga kota supaya menjauhkan diri daripada terlibat atau menyertai perhimpunan yang dirancang di perkarangan pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di sini esok.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Meor Chek Hussein berkata, polis tidak menerima permohonan daripada anggota pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan untuk mendapatkan permit mengadakan perhimpunan itu sempena penyerahan memorandum kepada Suruhanjaya oleh pembangkang dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan.

"Saya faham bahawa penyerahan memorandum itu hak mereka. Tetapi tiada sebab mengapa beribu-ribu orang perlu hadir semata-mata untuk menyerahkan memorandum," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Meor berkata, polis sedia menghadapi sebarang kemungkinan dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menyertai perhimpunan haram berkenaan.

"Daripada maklumat, penyokong-penyokong dijangka berkumpul di sekitar bandar raya sebagai tanda sokongan kepada penyerahan memorandum itu.

Walaupun tiada sekatan jalan-jalan tertentu di sekitar bandar raya dibuat, polis telah membuat perancangan untuk menghadapi sebarang situasi, katanya lagi.

Pelbagai poster, kertas sebaran serta surat jemputan telah diedarkan sejak minggu lepas menjemput orang ramai menghadiri perhimpunan itu.

Sementara itu, Presiden Parti Keadilan, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail berkata, satu delegasi terdiri daripada anggota Parlimen pembangkang dan beberapa wakil NGO akan menyerahkan memorandum kepada Suhakam esok.

Katanya, memorandum itu berkait dengan isu-isu pokok termasuk hak asasi manusia, demokrasi, pentadbiran yang baik dan ekonomi.

"Selepas memorandum itu diserahkan, perhimpunan harus bersurai secara aman," kata beliau. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi