Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 13 april 2001

Perlu kemuka bukti sekiranya berlaku politik wang

KUALA LUMPUR 12 April - Ahli-ahli UMNO perlu mengemukakan bukti sekiranya berlaku politik wang dalam pemilihan UMNO bahagian yang berlangsung sekarang dan tidak sekadar membuat tuduhan sahaja, kata Presiden parti, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hari ini.

Beliau berkata, jika bukti tersebut sahih, pucuk pimpinan parti pasti akan bertindak terhadap mereka terlibat.

Menurut beliau, sehingga kini, ahli-ahli UMNO hanya bercerita sahaja tentang politik wang tetapi tidak mengemukakan bukti untuk tindakan.

``Semua orang cerita tentang penggunaan wang tetapi bila kita cari bukti, tidak dapat. Kita tidak boleh bertindak atas tuduhan saja, kena cari bukti,'' tegasnya kepada pemberita selepas melancarkan bahan tampalan gigi terkini `Silverfil' di sini.

Dr. Mahathir diminta mengulas dakwaan kononnya politik wang berlaku dalam pemilihan UMNO bahagian sekarang terutama di bahagian-bahagian tertentu yang mempunyai pertandingan sengit.

Mengenai persaingan sengit yang dijangka akan berlaku dalam pemilihan di beberapa bahagian, beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan ahli-ahli menentukan ketua bahagian masing-masing.

Mereka yang telah menang dalam pemilihan, katanya, perlu menjalankan tugas dengan sempurna bagi memenuhi hasrat ahli-ahli yang mereka pimpin.

Mereka yang kalah pula, harus memberikan sokongan kepada yang menang.

Sehingga semalam, sebanyak 24 daripada 165 bahagian selesai mengadakan persidangan perwakilan masing-masing.

Daripada jumlah itu, lima muka baru terpilih menerajui UMNO bahagian manakala 19 ketua bahagian lagi terdiri daripada mereka yang mengekalkan jawatan itu menerusi pertandingan atau menang tanpa bertanding.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi