Make your own free website on Tripod.com

POLITIK

Berita Harian 10 april 2001

Polis damaikan penyokong parti gaduh kerana bendera


KUALA TERENGGANU, Selasa – Polis hari ini mendamaikan sekumpulan penyokong Umno dan Pas berikutan penebangan tiga tiang bendera Umno di markas Pas dan kawasan pantai Kampung Tengah, Mengabang Telipot di sini, semalam.

Sebagai tanda perdamaian, kedua-dua pihak akan mengadakan majlis masakan syura secara bersama.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner, Mohd Arif Fadzillah Abdul Ghani, yang bertanggungjawab mendamaikan kedua-dua pihak berharap keamanan setempat dapat dipulihkan dan perbezaan politik diketepikan demi keharmonian penduduk.

“Saya tidak mahu kejadian ini menjadi tegang sehingga boleh mengakibatkan kejadian yang tidak diingini,” katanya selepas mendamaikan penyokong Pas yang diwakili Pengerusi Jawatankuasa Syura Rakyat Kampung Tengah, Abdul Rahman Embong, dan Umno oleh Ketua Cawangan Umno Kampung Tengah, Abdul Ghani Ismail.

Beliau berkata, tindakan mendamaikan kedua-dua pihak itu perlu kerana polis tidak mahu ada pihak bertindak di luar undang-undang hanya kerana tiga tiang bendera dipotong.

Abdul Rahman pula berkata, penyokong Pas sebelum ini meluahkan rasa tidak puas hati mereka kepada beliau Ahad lalu kerana tiang bendera Umno dipasang dalam kawasan Pas.

“Keesokannya, saya pergi berunding dengan pihak Umno supaya memindahkan bendera mereka namun tidak diendahkan,” katanya.

Abdul Rahman berkata, tiga tiang bendera berkenaan dipercayai ditebang oleh seorang penyokong Pas pada 5.30 petang semalam.

Berikutan kejadian itu, beliau dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan oleh pihak Umno dan beliau diajak berunding mengenai perkara berkenaan.

Bagaimanapun kedua-dua pihak gagal mencari jalan penyelesaian dan membuat laporan polis semalam.

Sementara itu, Pengerusi Penyelaras Umno Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepuh, Hassan Ali, kesal tindakan segelintir penyokong Pas menurun dan memusnahkan beberapa tiang bendera Umno dan Barisan Nasional (BN) di Kampung Tengah, Mengabang Telipot, dekat sini, semalam.

Berikutan kejadian itu, Ketua Umno Cawangan Kampung Tengah, Abdul Ghani Ismail, membuat laporan polis di Balai Polis Batu Rakit, kira-kira jam 6 petang semalam sebelum bertindak membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu kira-kira jam 8 malam tadi.

Pengerusi Penyelaras Umno Dun Tepoh, Hassan Ali, 53, berkata pemasangan bendera parti di kampung itu dilakukan sebagai satu aktiviti parti.

Katanya, kejadian itu pertama kali berlaku dan ia dilakukan secara terang-terangan tanpa bimbang perbuatan mereka akan menimbulkan kemarahan di kalangan penyokong Umno.

Beliau yang juga Setiausaha Umno Bahagian Kuala Nerus, dimaklumkan ahli Umno bahawa bendera yang di pasang di dua kawasan di kampung itu di turunkan oleh penyokong Pas, malah buluh yang dijadikan tiang bendera dicantas.

Menurutnya, ahli Umno menaikkan bendera pada malam kelmarin (8 April) dan sebanyak 30 bendera dinaikkan.

Pengerusi Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) Kampung Tengah, Abdul Rahman Embong, 62, mengakui penyokong Pas yang bertanggungjawab merosakkan bendera parti itu. Bagaimanapun beliau tidak melihat perbuatan itu dilakukan.

Katanya, dia terkejut melihat banyak bendera dinaikkan di kawasan itu dan kira-kira jam 8 pagi semalam, beliau meminta kerjasama polis untuk menghalang Umno meneruskan kegiatan berkenaan.

“Sebagai ketua kampung yang dilantik kerajaan negeri, menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan kawasan kampung bebas daripada sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepuh, Abu Bakar Abdullah berkata, kerajaan negeri akan memantau dan menasihati JSR mewujudkan ketenteraman dalam kampung dan sedia mengadakan perjumpaan dengan Umno bagi membincangkan masalah itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Mohd Arif Fadzillah Abdul Ghani, ketika ditemui di pejabatnya mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi