Make your own free website on Tripod.com

POLITIK

Berita Harian 11 april 2001

Dialog Pembaca: Perihal jurujual sabun berjenama Pas


SEJAK kecil saya percaya kepada landasan perjuangan Pas. Ini kerana persekitaran kehidupan saya yang berada dalam lingkungan orang Pas, termasuk sebahagian besar keluarga saya. Apabila saya buat pertama kali berdaftar sebagai pemilih, dan bersiap sedia ke tempat pengundian pada 1980-an, ramai perayu undi menemui saya.

Mereka membisikkan, jangan fikirkan kehidupan di dunia. Fikirkan apa yang akan diperolehi apabila kita dipanggil menemui Allah swt.

Di sekolah, saya belajar agama. Saya juga belajar agama di pondok, selain mendalami ilmu melalui pembacaan buku agama, termasuk terjemahan Ihya Ulumuddin dan mengikuti ceramah agama.

Setiap kali pilihan raya, saya terkenangkan isu yang sama, saya sering terfikir semula natijah itu. Syurga dan neraka mainan bibir pemimpin Pas, termasuk menggunakan syllogism yang amat menakutkan. Kononnya, Pas adalah parti Islam dan menolak Pas bererti menolak Islam. Kononnya, menolak Islam bererti kafir. Allah menjanjikan syurga kepada orang Islam. Oleh kerana menolak Pas adalah kafir, sudah tentu tidak berbau syurga apabila dipanggil nanti.

Apabila mengingati kepada syllogism itu, saya teringat kepada satu mesej iklan sabun. Iklan itu mengandaikan bahawa, jika menggunakan sabun X, pakaian itu bukan saja tidak bersih, malah kekotoran yang degil tidak tanggal, warna menjadi pudar, dan bau busuk tidak hilang. Jika menggunakan sabun yang ditonjolkan, warna kekal lama, bau harum, kekotoran degil pun akan hilang. Pakaian putih dan suci.

Saya menterjemahkan perihal itu seperti apa yang dianjurkan oleh Pas. Ini kerana jika memilih Pas (seperti sabun bukan jenama X), seolah-olah kehidupan akan mekar mewangi, bersih, suci dan pasti akan diterima oleh Allah swt dan jika mati, akan dimasukkan ke syurga sebagai orang soleh.

Inilah yang mahu dibohongi semua orang. Inilah yang dijajanya sepanjang zaman, sejak zaman saya masih mengekori rakan mendengar ceramah politik ala agama Pas dalam tahun 1960-an, sehinggalah yang terakhir pada pilihan raya umum lalu.

Menurut pemimpin Pas, Islam adalah landasan perjuangan parti mereka, dan mereka akan membangunkan negara landasan Islam. Itulah natijahnya sehingga berjaya menguasai Kelantan dan Terengganu.

Masih ramai pengundi percaya dengan syllogism Pas yang menjanjikan syurga jika memilih pemimpin Pas. Pas kononnya parti yang dipimpin oleh ulama. Oleh itu, mereka kata kepemimpinan ulama perlu dipertahankan. Apabila menguasai Terengganu, ulama sudah bertukar menjadi alamak!!!. Hapuskan kutipan tol di Jambatan Sultan Ismail Nasirudin, tetapi mengenakan bayaran letak kereta sebanyak RM2 sejam di sekitar Pantai Batu Buruk. Dahulu tidak dikenakan bayaran, kini dikenakan bayaran.

Begitu juga dengan beberapa anak syarikat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), sudah bertukar tangan. Mereka yang mengambil alih pengurusan bukanlah tokoh yang mahir dan berpengalaman dalam bidang tertentu. Misalnya, Percetakan Yayasan Islam Negeri Terengganu yang banyak mendapat kontrak percetakan kerajaan, termasuk buku teks dan buku DBP, sudah digantikan dengan suku-sakat Pas.

Di Kelantan juga hal yang sama berlaku. Sesekali bila balik ke kampung, saya sempat menjengah beberapa persoalan dan perkara. Kadang kala apabila berhadapan dengan kawan-kawan yang menjadi jurujual sabun berjenama Pas, saya tersenyum sendirian.

Kadang kala saya bertanya dalam hati, orang yang menjual sabun itu adakah benar-benar suci dan harum? Adakah dia manusia atau malaikat? Saya tahu latar belakangnya, malah pernah bersama-sama main dam, dan sesekali meronda kampung apabila waktu bulan purnama ketika usia remaja. Saya turut menerawang ke jejarum masa, apakah benar suci bersih sehingga tidak ada lagi sedikit pun dosa yang masih tersisa?

Jawabnya, masih bertompok tebal. Khabarnya mempunyai dua isteri. Isteri tua ditinggal-tinggalkan, isteri muda diberikan layanan dan perhatian. Dalam hal ini sudah tidak menunjukkan keadilan, sedangkan keadilan itu dituntut oleh agama sebagai prasyarat untuk berpoligami.

Saya selidik satu lagi mengenai rakan saya yang menjadi jurujual Pas. Kali ini saya menemui satu lagi kesilapan besar yang dilakukan jurujual sabun Pas, yang saya kenali itu. Dia menjadi pemborong binaan. Walaupun bangunan yang dibuat bukanlah dalam jutaan ringgit nilainya, dia turut melakukan banyak kesalahan. Dia tidak amanah dengan apa yang dipersetujuinya sebelum mendapat projek itu. Walau pun nampaknya kecil, jika dikumpulkan kesalahan itu adalah besar.

Dia menukarkan batu-bata yang digunakan. Dalam perjanjiannya menggunakan batu-bata tanah liat tetapi ketika melakukan kerja, dia menggunakan batu-bata simen. Campuran simen juga berkurangan, malah bahagian pasir melebihi daripada kadar yang sepatutnya. Bilah besi yang digunakan untuk menguatkan struktur binaan dibelinya secara murah, daripada bahan binaan terpakai atau lebihan kontraktor lain yang dicampurkan dengan bilah besi baru.

Daripada bahan binaan sebenarnya dia berjaya menguat untung. Jika sepatutnya dan anggaran asal yang dibuat ialah dalam harga A, kerana kepintarannya, harga itu menjadi B. Dia sudah boleh mengira untung bahan mentah dalam kiraan 20 peratus. Adakah ini satu kejujuran? Tidakkah ini penipuan? Bukankah menipu itu termasuk dalam kategori dosa besar?

Saya tetap menganggap, apa yang dilakukan oleh orang Pas tidak ubah seperti iklan sabun. Hanya sabun jenama Pas saja yang mereka anggap bersih, suci, wangi dan dapat menghilangkan kekotoran yang degil. Apabila menggunakan sabun jenama lain, mereka rasa bau busuk kekal, warna semakin pudar, itulah retorik ngeri yang diwar-warkan. Jika kita tidak mensyirikkan Allah swt, melakukan solat bila tiba masa, tidak melakukan dosa besar, jujur, menghambakan diri kepada Allah swt tidak perlu takut untuk tidak dimasukkan ke syurga. Syurga bukan milik mutlak pengeluar dan jurujual sabun Pas. Syurga adalah milik setiap orang Islam yang sentiasa bertindak atas landasan nahi mungkar dan amal makruf.

NINA ZURIN
Cheras, Kuala Lumpur.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi