Rare CDs=Commission

POLITIK

Berita Harian 12 april 2001

Pembangkang jangan persoal lagi pendakwaan Anwar


KUALA LUMPUR, Khamis – Pembangkang diingatkan supaya tidak mempersoalkan lagi kenapa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak didakwa di Mahkamah Syariah kerana isu itu sudah dijelaskan secara panjang lebar dan terperinci, baik di Dewan Rakyat atau di Mahkamah Sivil.

Sambil menegur Che Ghani Che Ambak (Pas-Setiu) kerana cuba mempolitikkan isu perundangan yang sudah lama diselesaikan itu, Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Noh Omar, berkata:

“Pendirian Mahkamah Persekutuan amat jelas dalam menangani kes seseorang beragama Islam melakukan perbuatan yang menjadi kesalahan mengikut Kanun Keseksaan, yang juga menjadi kesalahan mengikut Kod Jenayah Syarie Persekutuan 1987.

“Perkara 121 (1) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa Mahkamah Persekutuan mempunyai bidang kuasa mendengar kes itu dan ia hanya menjadi bidang kuasa Mahkamah Syariah jika kesalahan membabitkan orang beragama Islam itu, tidak boleh diadili di Mahkamah Sivil, umpamanya kes zina.

“Apa lagi yang pembangkang tidak faham, kenapa nak bangkitkan lagi isu Anwar ini yang sudah berkali-kali dijelaskan,” katanya.

Menjawab soalan asal Mastika Junaidah (BN-Arau), Noh menjelaskan antara 1997 hingga 1999, 490 kes rayuan didaftarkan di Mahkamah Syariah seluruh negara dan 222 daripadanya sudah diselesaikan manakala 268 kes masih tertangguh.

Katanya, Mahkamah Rayuan Syariah hanya bersidang berdasarkan keperluan apabila terdapat kes rayuan yang difailkan dan tarikh untuk didengar sudah ditetapkan.

Kes yang membabitkan rayuan dari Mahkamah Rendah Syariah ke Mahkamah Tinggi Syariah pula akan didengar Hakim Mahkamah Tinggi Syariah manakala rayuan dari Mahkamah Tinggi Syariah ke Mahkamah Rayuan Syariah didengar Panel Rayuan Syarie yang dilantik kerajaan negeri dengan persetujuan pemerintah negeri mesing-masing setiap dua tahun sekali.

Noh berkata, kerajaan juga sudah mengambil langkah mengatasi masalah kekurangan hakim dengan penyusunan semula sistem kehakiman Syariah iaitu merangkumi Mahkamah Rendah, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Selain itu, penyusunan semula struktur Mahkamah Syariah mengikut kaedah perjawatan yang memberi peluang lebih baik kepada Hakim Syarie, khasnya dan skim pegawai Syariah, amnya, turut dirangka.

Namun, kata Noh, peningkatan kes adalah faktor yang tidak dapat dielakkan, umpamanya bagi tuntutan penceraian di ibu negara sahaja sebanyak 50,012 kes didaftar dan 35,602 sudah selesai manakala 14,792 masih tertangguh.

Sebagai contoh, menurut Noh, mengikut Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, terdapat lima peruntukan berbeza bagi takrifan penceraian.

Katanya, Seksyen 47 menggariskan permohonan penceraian dengan persetujuan bersama, Seksyen 49 bagi permohonan cerai secara tebus talak dan Seksyen 50 untuk permohonan cerai taklik.

Sementara itu, Seksyen 52 menyentuh mengenai permohonan cerai fasakh manakala Seksyen 55 (a) pula menggariskan prosedur pengesahan penceraian.

Noh menjelaskan penyelesaian kes terbabit mengambil masa lama kerana lima seksyen berkenaan membabitkan prosedur, dokumen dan penggunaan peruntukan perundangan Islam yang berbeza.

Beliau juga memaklumkan bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah memberi kebenaran mengisi dua jawatan tambahan bagi memantapkan lagi Mahkamah Rayuan Syariah Persekutuan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi