Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 13 april 2001

Pembangkang mahu KPN kemuka bukti

KUALA LUMPUR 12 April - Pakatan pembangkang hari ini mendesak Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai mengemukakan bukti sekiranya benar tujuh aktivis reformasi yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) merancang mencetuskan demonstrasi bercorak militan.

Mereka berkata, tuduhan Norian itu terlalu berat dan sukar dipercayai melainkan polis dapat mengemukakan bukti yang boleh meyakinkan rakyat bahawa mereka mahu merealisasikan rancangan tersebut.

Perkara itu dinyatakan dalam sidang akhbar pakatan pembangkang di pekarangan Parlimen, hari ini yang dihadiri oleh Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor: Presiden Parti Keadilan Nasional (Keadilan), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail: Pengerusi DAP, Lim Kit Siang, Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Dr. Syed Husin Ali dan Timbalan Presiden Keadilan, Dr. Chandra Muzafar.

Semalam, Norian mendedahkan bahawa satu kumpulan sulit yang dianggotai oleh 20 orang aktivis reformasi telah diwujudkan untuk mencetuskan demonstrasi jalanan besar-besaran bercorak militan menjelang pilihan raya umum 2004.

Norian berkata, kumpulan tersebut didapati telah mengadakan 12 perjumpaan sulit sejak 6 Januari tahun ini hingga 4 April lalu bagi merealisasikan rancangan mereka itu.

Dalam sidang akhbar tersebut, Fadzil menegaskan pakatan pembangkang sentiasa konsisten bahawa perjuangan mereka adalah berprinsip dan menggunakan cara-cara demokrasi.

``Kita tidak akan mengambil cara-cara selain daripada itu,'' tegasnya.

Sehubungan itu, Fadzil meminta polis segera mengeluarkan bukti kukuh sekiranya benar mereka yang ditangkap itu berhasrat merancang mencetuskan demonstrasi militan secara besar-besaran.

``Jika polis gagal mengeluarkan bukti mereka ini perlu dibebaskan tanpa syarat,'' katanya lagi.

Wan Azizah pula mendesak kerajaan menghadapkan ketujuh-tujuh mereka yang ditahan itu di mahkamah terbuka.

``Kalau jelas mereka ini berbahaya, bawalah bukti dan bicarakanlah mereka di mahkamah terbuka untuk mereka membela diri dan bukannya terus ditahan di bawah ISA,'' jelasnya.

Kit Siang yang menyokong hujah berkenaan menyifatkan tangkapan di bawah ISA itu sebagai satu tindakan yang tidak adil.

``Saya mengutuk tindakan kerajaan ini dan mereka yang ditahan perlukan satu pembelaan bagi setiap tuduhan yang telah dilemparkan dan bukannya terus ditahan di bawah ISA.

``Tuduhan yang dibuat oleh Norian semalam terlalu berat dan sukar dipercayai. Kerajaan perlu mengemukakan bukti yang jelas setiap tuduhan yang telah dibuat untuk meyakinkan rakyat,'' katanya lagi.

Dalam perkembangan yang sama, Syed Husin menganggap tuduhan yang dibuat oleh Norian semalam adalah bohong dan palsu.

``Kerajaan sengaja menggunakan isu senjata semata-mata untuk memudahkan pihak pemerintah menangkap aktivis reformasi ini di bawah ISA yang kononnya disyaki akan membuat gerakan militan,'' katanya.

Dr. Chandra pula memberitahu, pakatan pembangkang akan menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Sabtu ini berhubung penggunaan ISA yang dikatakan mencabul hak asasi dan kebebasan rakyat.

Katanya, pakatan pembangkang juga bersetuju semua ahli Parlimen pembangkang akan memakai tohar sebagai protes terhadap tindakan kerajaan.

Oleh: SAIFULIZAM MOHAMAD

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi