Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 14 april 2001

Keadaan di Kuala Lumpur terkawal, kata polis

KUALA LUMPUR 14 April - Presiden Parti Keadilan Nasional, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail pagi ini mengetuai satu delegasi parti pembangkang dan wakil pertubuhan bukan kerajaan untuk menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Delegasi itu tiba di Menara Tun Razak di Jalan Raja Laut yang menempatkan pejabat Suhakam pada kira-kira pukul 10.20 pagi.

Anggota Suhakam Tan Sri Harun Hashim menerima memorandum 10 perkara itu daripada Wan Azizah yang kemudian meninggalkan bangunan itu bersama-sama delegasinya kira-kira sejam kemudian.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Dell Akbar Khan berkata, keadaan di ibu negara adalah terkawal.

Polis akan meneruskan kawalan bagi memastikan keadaan terus terkawal, katanya kepada pemberita di hadapan bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di depan Menara Tun Razak.

Katanya, seramai 400 anggota polis mengadakan kawalan sejak awal pagi di sekitar ibu kota termasuk di Dataran Merdeka.

Polis mengambil tindakan itu bagi menghadapi sebarang kemungkinan ekoran rancangan penyokong reformasi mahu mengadakan perhimpunan yang dinamakan "Black 14" sempena penyerahan memorandum itu. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi