Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 14 april 2001

`Jangan sertai Black 14' -- Polis beri amaran bertindak tegas terhadap peserta perhimpunan

KUALA LUMPUR 13 April - Polis memberi amaran keras akan mengambil tindakan tegas termasuk menahan orang ramai yang menyertai perhimpunan `Black 14' anjuran Parti Keadilan Nasional yang dijadual diadakan di ibu negara, esok.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Meor Chek Hussin Mahyuddin berkata, pihaknya telah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan buruk yang dijangka tercetus berikutan perhimpunan haram tersebut.

``Saya menyeru warga kota agar menjauhkan diri daripada terlibat dengan perhimpunan yang tidak mendapat sebarang permit polis itu,'' katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau menegaskan, polis tidak teragak-agak menangkap mereka yang terlibat walaupun mendakwa perhimpunan itu hanya untuk menyerahkan memorandum kepada pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

``Bagi kita, kalau setakat menyerahkan memorandum itu cukuplah disertai beberapa orang sahaja dan bukannya melibatkan ribuan orang,'' katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar menjalani urusan seharian seperti biasa dan polis tidak bercadang menutup jalan-jalan masuk ke ibu negara esok.

``Daripada maklumat, penyokong-penyokong pembangkang dijangka berkumpul di sekitar bandar raya sebagai tanda sokongan kepada penyerahan memorandum itu,'' katanya.

Perhimpunan yang dinamakan `Penyerahan Memorandum Rakyat Mengenai Hak Asasi Manusia' itu meletakkan sasaran kehadiran 50,000 orang. Ia diadakan bersempena dengan ulang tahun kedua, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhi hukuman penjara.

Hari ini, poster dan risalah mengenai perhimpunan tersebut diedarkan kepada para jemaah di sejumlah masjid di Lembah Klang bagi mempengaruhi orang ramai untuk menyertai perhimpunan haram itu, selain kempen menerusi laman-laman web pembangkang.

Meor menambah, sebagai langkah berjaga-jaga, pihaknya mengerahkan 400 orang anggotanya bersiap sedia di samping 1,000 anggota tambahan dari Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

``Selain Kontinjen Kuala Lumpur, polis Selangor juga melakukan pemantauan sendiri dan mereka pun bersiap sedia menangani perhimpunan ini jika diperlukan,'' katanya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai pada sidang akhbarnya Rabu lalu berkata, perhimpunan yang juga dikenali sebagai `Black 14' berpotensi untuk menjadi rusuhan.

Bagi mengelakkan kejadian buruk berlaku, polis telah menahan tujuh aktivis reformasi termasuk Ketua Pemuda Keadilan, Ezam Mohd. Noor; Naib Presiden Keadilan, Tian Chua; Pengarah Kempen Pembebasan Anwar Ibrahim, Raja Petra Kamaruddin, Hishamuddin Rais dan Saari Sungip.

Penahanan itu, menurut Norian, setelah mereka dipercayai terbabit dalam kumpulan sulit oleh lebih 20 orang aktivis reformasi yang diwujudkan bagi mencetuskan demonstrasi jalanan besar-besaran bercorak militan menjelang pilihan raya umum 2004.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pula ketika diminta mengulas mengenai penahanan itu berkata, tindakan itu terpaksa dilakukan untuk mencegah berlakunya demonstrasi yang akan membawa keganasan dan kemusnahan.

Menurut beliau, tangkapan itu berdasarkan bukti polis yang mereka merancang menggunakan bahan letupan.

Oleh: AMREE AHMAD dan OPAT AISIN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi