POLITIK

Utusan Malaysia 15 april 2001

Perhimpunan gagal tiada penghasut

KUALA LUMPUR 14 April - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata kegagalan parti pembangkang menarik sokongan rakyat menyertai perhimpunan mereka hari ini adalah kerana mereka sudah tidak mempunyai pemimpin yang menghasut.

Sehubungan itu Perdana Menteri menyifatkan tindakan polis menahan tujuh pemimpin pembangkang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) beberapa hari lalu sebagai satu tindakan yang tepat.

Beliau berkata, penahanan pemimpin pembangkang itu telah mengakibatkan jangkaan 50,000 orang akan menyertai perhimpunan pada hari ini tidak tercapai.

``Saya nampak berkesan juga (penggunaan ISA). Dia (pembangkang) cadang untuk mengadakan perjumpaan 50,000 orang.

``Kita juga dapat tahu mereka beritahu pada orang tertentu bahawa mereka ingin mengadakan perhimpunan ala Indonesia iaitu dengan mengganas tapi tidak berlakulah,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri rumah terbuka Hari Vasakhi anjuran beberapa pertubuhan kaum Sikh di sini hari ini.

Dr. Mahathir diminta mengulas mengenai perhimpunan anjuran Jawatankuasa Memorandum Rakyat di ibu pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini.

Dalam perhimpunan yang dikatakan bagi mengiringi pemimpin mereka menyerahkan memorandum kepada Suhakam, polis menganggarkan sekitar 1,500 orang sahaja menyertainya.

Beliau berkata, adalah jelas sekarang bahawa rakyat Malaysia sebenarnya suka hidup dalam keadaan aman damai dan menolak tindakan-tindakan berunsur ganas.

Katanya, selama ini sebahagian rakyat bertindak ganas kerana adanya pemimpin-pemimpin yang menghasut mereka, malah ada pihak yang diupah supaya bertindak ganas.

Mengenai dakwaan penglibatan seorang ahli perniagaan dalam gerakan itu, Perdana Menteri berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai perkara itu.

Bagaimanapun katanya, beliau mendapat maklumat bahawa ada pihak yang pergi ke Indonesia untuk memberitahu pihak-pihak di negara itu bahawa mereka akan adakan tunjuk perasaan ala Indonesia.

``Cara Indonesia bermakna dengan cara ganaslah,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi