Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 15 april 2001

Tidak wajar politikkan kepentingan Melayu

KUALA LUMPUR 14 April - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengulangi pendirian UMNO bahawa perkara-perkara mengenai kepentingan orang Melayu tidak wajar dipolitikkan oleh mana-mana pihak.

Presiden UMNO itu sebaliknya menegaskan, semua orang Melayu sepatutnya mempunyai kata sepakat dalam perkara-perkara kepentingan bersama itu.

Perkara-perkara itu ialah hak istimewa orang Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan raja-raja Melayu.

Sambil mengakui bahawa orang Melayu tidak akan mencapai kata sepakat dalam perkara-perkara tertentu, beliau berkata, keempat-empat agenda yang ditetapkan oleh UMNO itu sudah termaktub dalam Perlembagaan Negara.

``Kita tidak minta lebih daripada itu. (Kita mahu tahu) sama ada mereka (Pas) sokong Perlembagaan atau tidak, itu sahaja.

``Jadi dalam perkara itu, kalau mereka sokong pun, mereka tidak akan rugi dari segi politik,'' katanya selepas menghadiri rumah terbuka Hari Vasakhi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai cadangan pertemuan penyatuan Melayu antara UMNO dan Pas yang dilihat semakin sukar untuk menjadi kenyataan.

Ini berikutan sikap Pas yang berkeras mahukan dua syarat mereka dipenuhi terlebih dahulu sebelum rundingan itu dapat diadakan.

Dua syarat itu ialah mengembalikan wang royalti minyak kepada kerajaan Terengganu dan membenarkan lidah rasmi Pas, Harakah, diterbitkan dua kali seminggu.

Dr. Mahathir menjelaskan bahawa UMNO berpendapat bahawa syarat yang dikenakan oleh Pas itu tidak ada kena-mengena dengan perpaduan Melayu.

Bagaimanapun tegasnya, UMNO masih terbuka untuk berunding dengan Pas, seperti yang ditegaskan oleh parti itu sejak dari mula lagi.

Sementara itu di dalam ucapannya pada majlis rumah terbuka itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan menimbangkan cadangan untuk menjadikan Hari Vasakhi sebagai cuti umum.

``Tetapi masalah kita ialah cuti kita terhad kepada 16 hari setahun sahaja. Jadi, kita kena cari cuti lain untuk ditukar ganti,'' jelasnya.

Bagaimanapun katanya, tidak ada cuti umum pada Hari Vasakhi tidak bermakna kerajaan tidak menghargai peranan kaum Sikh di negara ini.

Mengenai permintaan kaum Sikh untuk menjadi ahli Dewan Negara, Dr. Mahathir berkata, pelantikan ke jawatan itu bergantung kepada giliran.

``Negara ini mempunyai banyak kaum-kaum kecil yang lain dan kita mahu melayan kesemua kaum ini dengan adil,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi