Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 15 april 2001

Kumpulan reformasi rancang bawa aktivis Indonesia

GERIK 14 April - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mendedahkan bahawa kumpulan reformasi di negara ini merancang untuk membawa masuk aktivis reformasi dari Indonesia bagi menyertai gerakan itu secara militan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, usaha itu dilakukan setelah pihak reformasi di negara ini gagal mendapat sokongan daripada rakyat tempatan.

Beliau percaya kumpulan reformasi di negara ini bukan sahaja mendapatkan nasihat daripada golongan reformasi di Indonesia tetapi juga merancang membawa individu-individu dari Indonesia untuk datang ke Malaysia bagi menyertai gerakan mereka.

``Mengikut laporan polis memang ada hubungan antara golongan reformasi di Malaysia dengan golongan yang sama di Indonesia dalam usaha mendapatkan sokongan tersebut,'' jelas beliau kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Gerik di sini hari ini.

Bagaimanapun, Abdullah yang juga Menteri Dalam Negeri menjelaskan bahawa pihak reformasi di Indonesia tidak ingin terlibat atau campur tangan dalam urusan di Malaysia.

Namun begitu, beliau menegaskan kerajaan akan terus berwaspada bagi memastikan tidak ada penglibatan asing yang membantu gerakan yang boleh mencetuskan keadaan tidak harmoni di negara ini.

``Kita akan ambil tindakan terhadap sesiapa juga yang terlibat dalam kegiatan tersebut atau penglibatan rakyat Indonesia yang datang untuk menggugat keselamatan negara ini,'' tegasnya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad percaya gerakan reformasi telah cuba mendapatkan bantuan dari sebuah negara jiran untuk mencetuskan rusuhan dan keganasan di Malaysia.

Tindakan itu, kata Perdana Menteri, berikutan kejayaan kumpulan yang tidak bertanggungjawab tersebut menggulingkan kerajaan mereka melalui rusuhan dan keganasan.

Menjawab soalan pemberita sama ada terdapat rakyat Indonesia yang telah ditangkap kerana menyertai gerakan reformasi di negara ini, Abdullah berkata:

``Buat masa ini saya tidak ada butiran tentang perkara ini (kemasukan rakyat Indonesia) tetapi polis mungkin ada maklumat terperinci.''

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi