Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 04 april 2001

Amanat Hadi: UMNO sedia bermuzakarah

KUALA LUMPUR 3 April - UMNO tidak mempunyai masalah malah bersedia untuk bermuzakarah dengan Menteri Besar Terengganu berhubung Amanat Haji Hadi yang dikatakan antara punca berlakunya perpecahan di kalangan umat Islam.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam UMNO, Datuk Paduka Dr. Abdul Hamid Othman berkata, perbincangan berbentuk ilmiah itu sewajarnya diadakan secara tertutup dan Abdul Hadi Awang hendaklah bersedia menarik balik amanat itu jika ia didapati bertentangan dengan agama.

Sambil menyambut baik kesediaan Abdul Hadi itu, katanya, demi kepentingan rakyat, keputusan muzakarah itu perlu diumumkan kepada orang ramai supaya mereka jelas mengenainya dan tidak lagi timbul soal kafir mengkafir sesama Islam.

``Kesediaannya (Abdul Hadi) untuk bermuzakarah adalah satu pertimbangan yang baik untuk mencari kebaikan.

``Kita adakan perbincangan secara ilmiah untuk mencari pendapat, maka, kalau didapati (amanatnya) salah dia kena tarik balik,'' katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Abdul Hadi semalam yang menyatakan kesediaannya untuk bermuzakarah dengan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Biro Hal Ehwal Islam UMNO mengenai amanat itu tanpa sebarang syarat.

Mengulas lanjut Abdul Hamid berkata, Biro Hal Ehwal Islam UMNO akan bermesyuarat dalam masa terdekat ini bagi membincangkan isu muzakarah itu dengan lebih terperinci.

``Kita akan tulis surat kepada Abdul Hadi atas nama parti, kita mahu kedua-dua wakil UMNO dan Pas serta ahli ilmuan lain turut menghadiri muzakarah tersebut,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi