Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 15 april 2001

Wan Azizah serah memorandum

KUALA LUMPUR 14 April - Presiden Parti Keadilan Nasional (Keadilan), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, hari ini menyerahkan memorandum yang mengandungi 10 perkara di Ibu Pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Menara Tun Razak di sini.

Beliau yang diiringi oleh beberapa ahli Parlimen pembangkang serta wakil-wakil badan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum yang dipanggil `Memorandum Rakyat' itu kepada Naib Pengerusi Suhakam, Tan Sri Harun Hashim.

Sepuluh perkara asas dalam ``Memorandum Rakyat'' itu ialah:
* Jaminan kebebasan bersuara
* Jaminan hak berhimpun
* Jaminan kebebasan media
* Pelihara kebebasan kehakiman
* Martabatkan sosio-ekonomi rakyat tertindas
* Hapuskan fahaman perkauman dan diskriminasi kaum
* Mansuhkan undang-undang zalim dan mencabuli hak asasi seperti ISA, Akta Darurat dan Ordinan Darurat
* Perakui konvensyen hak asasi manusia
* Siasat rasuah, kronisme dan nepotisme
* Siasat kepincangan polis

Dalam pada itu Harun berkata, Suhakam akan membincangkan semua perkara dalam `Memorandum Rakyat' pada mesyuaratnya akan datang.

Katanya, masih terlalu awal untuk suruhanjaya itu mengulas mengenai 10 perkara asas dalam memorandum berkenaan termasuk menuntut pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

``Kita akan bawa semua perkara ini dalam mesyuarat akan datang.

``Mengenai kedudukan ISA, sama ada dihapuskan secara keseluruhan, separuh atau dikekalkan semula tetapi dalam bentuk berlainan, ia bergantung kepada keputusan mesyuarat Suhakam nanti,'' katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menerima memorandum itu pagi ini.

Selain Harun, Suhakam turut diwakili oleh Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Anuar Zainal Abidin dan ahli suruhanjaya, Prof. Hamdan Adnan.

Berucap kepada penyokongnya selepas menyerahkan memorandum itu, Wan Azizah berkata, pihaknya meminta Suhakam membuat pengadilan yang wajar agar rakyat mendapat hak keadilan sejagat.

Anuar sebagai wakil suruhanjaya itu pula berkata, Suhakam telah menerima memorandum itu, tetapi pihaknya tidak dapat memberi apa-apa jaminan buat masa ini.

``Suhakam berjanji akan meneliti isu-isu yang ditimbulkan dalam memorandum tersebut,'' ujar beliau.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Dell Akbar Khan berkata, perhimpunan mengiringi penyerahan memorandum itu berlangsung dalam keadaan tenang.

Perhimpunan itu berlangsung hampir dua jam mulai pukul 10 pagi.

Katanya hampir 400 anggota polis di letakkan dalam keadaan berjaga-jaga di sekitar Menara Tun Razak, Dataran Merdeka, sepanjang Jalan Raja Laut dan Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Dell memberitahu, kira-kira 1,500 orang penyokong pembangkang menyertai perhimpunan pagi ini.

Tinjauan Mingguan Malaysia di sekitar Menara Tun Razak mendapati tiga buah trak Polis Simpanan Persekutuan (FRU) dan sebuah meriam air ditempatkan di situ sejak pagi.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi