Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 15 april 2001

Tindakan Suhakam berat sebelah - Rais

JELEBU 14 April - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Rais Yatim, melihat tindakan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) terlalu berat sebelah berhubung dengan penahanan tujuh aktivis reformasi yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau berkata, tindakan badan bebas itu seolah-olah ia memihak kepada aktivis reformasi dan orang ramai juga melihat Suhakam menjurus ke arah itu.

Rais meminta agar Suhakam memahami peranannya dan melakukan penyelidikan sebelum campur tangan dalam perkara tersebut.

``Pada masa ini tidak ada pencabulan hak asasi manusia dilakukan oleh pihak polis memandangkan pasukan keselamatan itu menjalankan tugasnya mengikut kuasa yang dibenarkan oleh undang-undang iaitu melakukan penahanan pencegahan,'' katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika di minta mengulas tindakan Suhakam menghantar surat kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai, agar membenarkannya menemui ketujuh-tujuh aktivis refomasi yang ditahan di bawah Seksyen 73(1) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ketujuh-tujuh aktivis refomasi yang ditahan ialah Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional (Keadilan), Mohamad Ezam Mohd. Noor, 34; Naib Presiden Keadilan, Chua Tian Chang (Tien Chua), 37; Hishamuddin Rais, 50; Saari Sungib, 43; N. Gobala Krishnan, 41; Raja Petra Raja Kamaruddin, 49 dan Abdul Ghani Haron.

Menurut Rais, Suhakam boleh memohon untuk menemui ketujuh-tujuh aktivis reformasi yang ditahan itu selepas polis selesai menjalankan tugas iaitu dalam tempoh 60 hari seperti yang dibenarkan oleh akta berkenaan.

Beliau memberitahu, Suhakam boleh menganggap pencabulan hak asasi telah dilakukan oleh polis sekiranya permohonan untuk menemui ketujuh-tujuh aktivis reformasi tersebut ditolak.

``Suhakam juga boleh memeriksa tempat tahanan ketujuh-tujuh aktivis reformasi dan melakukan pemeriksaan sekiranya pihak polis bertindak di luar batas undang-undang semasa tempoh penahanan tersebut,'' katanya.

Mengulas lanjut mengenai tindakan Suhakam itu Rais berkata, Suhakam seharusnya memahami proses undang-undang dan hanya bertindak setelah semua proses telah dilakukan oleh pihak polis.

Rais menambah, adalah tidak wajar untuk Suhakam menyuarakan atau melakukan tindakan-tindakan yang boleh menghalang siasatan polis.

``Seharusnya Suhakam harus membenarkan polis menjalankan tugasnya seperti yang telah dibenarkan di bawah undang-undang,'' jelasnya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi