Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 15 april 2001

Pertemuan: Pas putuskan syarat bebas aktivis hari ini

KUALA LUMPUR 14 April - Jawatankuasa Kerja Pas Pusat akan memutuskan dalam mesyuaratnya esok sama ada menetapkan pembebasan tujuh aktivis reformasi yang kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai syarat ketiga parti itu bagi pertemuan penyatuan Melayu.

Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor berkata, setakat ini prasyarat itu belum menjadi keutamaan walaupun ia merupakan pendirian Pas sebaik sahaja mereka ditahan.

``Terpulang kepada Jawatankuasa Teknikal Pas yang dipengerusikan oleh Nasharudin Mat Isa (untuk memasukkan syarat ketiga ini).

``Bagaimanapun pendirian kita ialah ketujuh-tujuh mereka mesti dibebaskan sebab tidak ada bukti mengaitkan mereka dengan sebarang kegiatan yang menggugat keselamatan negara,'' katanya ketika dihubungi Mingguan hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini yang memetik sumber bahawa Pas akan menjadikan pembebasan tujuh tahanan ISA itu sebagai syarat tambahan bagi merealisasikan pertemuan penyatuan Melayu dengan UMNO.

Pas sebelum ini mahu UMNO mengembalikan permit penerbitan Harakah dua kali seminggu dan bayaran royalti minyak kepada kerajaan Pas Terengganu, dipulangkan.

Bagaimanapun syarat ketiga, iaitu mahu UMNO menolak cadangan menghapuskan perkataan Islam pada parti itu digugurkan selepas Majlis Raja-Raja membenarkan penggunaannya pada pertubuhan dan parti politik.

Jawatankuasa Teknikal Pas-UMNO telah bertemu sebanyak tiga kali pada 8 dan 16 Februari serta 27 Mac.

Bagaimanapun sehingga kini kedua-dua parti belum mencapai kata sepakat mengenai format dan syarat-syarat pertemuan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi