Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 16 april 2001

Pas antiperpaduan Melayu -- TPM: Masih berdolak-dalik mengenai pertemuan penyatuan bangsa

PAGOH 15 April - Pas masih berdolak-dalik mengenai pertemuan penyatuan Melayu serta meletakkan pelbagai syarat kerana parti itu sebenarnya bersikap antiperpaduan Melayu, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Timbalan Presiden UMNO berkata, sikap antiperpaduan Melayu itu sengaja diambil bagi mencapai matlamat politik Pas untuk berkuasa dan bukannya untuk menyatukan umat Islam dan orang Melayu di negara ini.

Katanya, ini terbukti apabila parti pembangkang itu sebaliknya menuduh UMNO menggunakan perpaduan serta pengukuhan semangat kebangsaan Melayu bagi tujuan menindas golongan bukan Melayu.

``Pas berdolak-dalik tentang perpaduan Melayu sedangkan perkara ini termaktub dalam perlembagaan dan ia bukan untuk tujuan perselisihan faham.

``Perpaduan adalah isu utama malah perpaduan Melayu tidak pernah digunakan untuk berkonfrontasi dengan bukan Melayu. Kekuatan Melayu tidak pernah digunakan untuk gugat bukan Melayu,'' katanya kepada para pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO bahagian Pagoh di sini hari ini.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Abdullah berkata, kekuatan Melayu itu telah digunakan untuk menggembleng tenaga bersama dengan kaum lain bagi menuntut kemerdekaan serta membangunkan negara.

Sehingga kini kata beliau, rakyat terus menyokong konsep itu dengan memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) yang berteraskan UMNO dan perpaduan untuk mentadbir dan membangunkan negara.

Sehubungan itu katanya, cakap-cakap pembangkang bahawa UMNO mahu bersengketa dengan bukan Melayu melalui isu perpaduan itu adalah satu pembohongan.

``Semua ini adalah dusta semata-mata,'' tegasnya.

Abdullah menegaskan, jika perpaduan Melayu bertujuan menindas kaum lain maka sudah lama negara ini hancur dan tentu rakyatnya tidak dapat menikmati pembangunan dan kemajuan seperti hari ini.

UMNO katanya, walaupun berjuang untuk Melayu tetapi meletakkan tiga perkara sebagai dasar perjuangannya iaitu untuk agama, bangsa dan negara.

Oleh itu katanya, kedua-dua parti Melayu iaitu Pas dan UMNO tidak sepatutnya berbalah mengenai hak istimewa orang Melayu, agama Islam dan isu bahasa.

``Kita mahu Melayu bersatu padu, buat apa bergaduh pasal Melayu,'' ujarnya.

Sementara itu, pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO bahagian Ledang di Tangkak, Timbalan Perdana Menteri berkata, Pas juga menolak semangat kebangsaan Melayu kerana mendakwa ia sebagai fahaman berpuak-puak (assabiah) dan sempit.

Menurut beliau, dakwaan parti itu tidak benar kerana sehingga kini semangat itu terbukti telah memberi sumbangan yang besar kepada negara termasuk nikmat kemerdekaan dan kejayaan umat Islam.

Mengenai syarat baru yang cuba dikenakan oleh Pas iaitu melibatkan pembebasan tujuh aktivis reformasi yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), beliau berkata itu merupakan helah Pas.

``Kalau Pas gunakan ini (pembebasan aktivis reformasi) sebagai syarat, ia merupakan helah tidak mahu sertai pertemuan bagi membincangkan hal-hal orang Melayu,'' katanya.

Sebabnya kata beliau, mereka bimbang kepada pengukuhan semangat kebangsaan Melayu.

Menurut beliau, UMNO sentiasa membuka pintu bagi pertemuan tersebut dan bersedia bila-bila masa malah tidak sekali-kali akan membatalkannya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi