Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 16 april 2001

Calon amal politik wang ke BPR

TANGKAK 15 April - Calon-calon UMNO yang didapati bersalah mengamalkan politik wang oleh Lembaga Disiplin UMNO mungkin akan diserahkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk tindakan selanjutnya.

``Kita serahkan kepada parti selepas itu (sama ada perlu menyerahkan calon kepada BPR kerana mengamalkan politik wang),'' kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau memberikan reaksi itu ketika ditanya sama ada calon-calon yang didapati bersalah mengamalkan gejala negatif itu oleh lembaga terbabit akan diserahkan kepada BPR untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun, beliau sekali lagi menegaskan bahawa mereka yang didapati terlibat dengan politik wang akan digugurkan serta-merta daripada jawatan yang telah dipilih.

Sehingga kini, katanya, Lembaga Disiplin UMNO telah menerima lebih 200 aduan mengenai salah laku pada pemilihan bahagian yang sedang berlangsung sekarang.

Pihak lembaga, kata beliau, akan meneliti satu persatu kerana bukan senang untuk membuat keputusan ekoran terdapat juga tuduhan-tuduhan yang tidak berasas dalam aduan terbabit.

Menurut beliau, tindakan hanya akan diambil selepas pihak lembaga memberikan pertimbangan yang wajar.

``Semuanya (aduan) perlu dihalusi,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO bahagian Ledang di sini hari ini.

Malah, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri percaya bahawa ahli-ahli lembaga itu akan bertindak secara berhati-hati dan adil sebelum membuat keputusan.

``Ahli-ahli lembaga adalah bebas dan tidak terikat dengan pertimbangan-pertimbangan lain, oleh itu mereka boleh buat keputusan yang tegas dan tidak dipertikai oleh ahli,'' katanya.

Sementara itu dalam ucapannya beliau meminta ahli-ahli UMNO di negeri Johor supaya terus mempertahankan negeri ini sebagai kubu kuat UMNO.

Kejayaan UMNO Johor, katanya, memberi sumbangan yang besar kepada kekuatan parti itu di seluruh negara.

Selain itu, kata Abdullah turut mengingatkan calon-calon UMNO yang bertanding pada pemilihan peringkat bahagian supaya merapatkan semula barisan apabila selesai pertandingan.

``Yang kita mahu ialah supaya akhirnya UMNO selamat dan mempunyai pemimpin berwibawa di peringkat bahagian walaupun pada peringkat awal ada pihak yang berbeza.

``Setelah selesai persidangan yang berjaya ialah UMNO-UMNO bahagian kerana mendapat pemimpin yang berwibawa bagi membawa cabaran menghadapi saingan pembangkang,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi