Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 06 april 2001

Muzakarah bulan depan -- Selesaikan isu Amanat Hadi yang dikatakan punca perpecahan umat Islam

KUALA LUMPUR 5 April - Muzakarah mengenai Amanat Haji Hadi akan diadakan bulan depan bagi menyelesaikan isu yang dikatakan punca masalah akidah dan perpecahan umat Islam di negara ini sejak 20 tahun lalu.

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Dr. Ismail Ibrahim bagaimanapun berkata, muzakarah itu akan melibatkan sama ada Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) atau majlis itu sendiri dengan Pas.

Beliau tidak menolak kemungkinan melibatkan pihak-pihak lain termasuk Biro Hal Ehwal Agama UMNO dalam muzakarah tersebut.

Buat masa ini, katanya, soal masa, tempat dan siapa anggota yang terlibat belum diputuskan lagi.

Dr. Ismail berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor semalam, yang meminta Majlis Fatwa Kebangsaan menetapkan tarikh dan masa untuk mengadakan muzakarah itu.

Dalam masa yang sama, Fadzil juga mengesyorkan IKIM dijadikan lokasi muzakarah itu.

Sebelum ini, muzakarah itu dijangka melibatkan antara Timbalan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang dengan Dr. Ismail berikutan kedua-dua mereka menyatakan persetujuan berbuat demikian.

Ketika dihubungi di sini, hari ini, Dr. Ismail berkata:

``Saya telah memulakan jalan merintis ke arah muzakarah itu atas nama untuk kebaikan dan janganlah ada tuduhan saya diperalat oleh sesiapa.

``Sebaliknya ia adalah untuk kesatuan umat Islam.''

Katanya, sebagai merintis pertemuan itu, beliau telah memulakan usaha untuk merealisasikan muzakarah dengan Pas.

Ditanya mengapa muzakarah itu dilakukan dengan Pas dan bukannya dengan Abdul Hadi, Dr. Ismail berkata, ini kerana parti berkenaan telah menyatakan persetujuan mengadakan perbincangan tersebut.

Menurutnya, usaha itu akan dilakukan secara senyap-senyap dan tidak perlu dihebohkan melalui media.

Katanya, muzakarah itu akan dijalankan secara ilmiah yang bertujuan menghilangkan perasaan yang meragukan akidah umat Islam sehingga melibatkan pecah-belah.

Dr. Ismail berkata, ia tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa kerana beliau perlu menghalusi beberapa perkara termasuk dari segi dokumen dan sebagainya.

``Saya telah mulakan rancangan...apa langkah-langkah seterusnya tetapi tak perlu dihebohkan dalam media.

``Buat secara senyap-senyap, bila dah selesai baru umum kepada orang ramai,'' tambahnya.

Ditanya adakah muzakarah itu hanya tertumpu kepada amanat itu sahaja, Ismail berkata, ia belum ditetapkan lagi.

``Kalau bendanya banyak, kena (muzakarah) masa panjang,'' jelasnya.

Dalam satu perkembangan lain, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mahu muzakarah antara Pas dan Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai Amanat Haji Hadi disegerakan.

Menurut Perdana Menteri, muzakarah itu juga perlu melibatkan penyertaan UMNO tetapi jika Pas berpendapat sebaliknya, parti itu perlu mengambil pendirian serupa.

Dalam hubungan ini, tegasnya, biarlah Abdul Hadi yang bertanggungjawab mengeluarkan amanat itu bermuzakarah dengan Majlis Fatwa Kebangsaan atas kapasiti individu bukan sebagai wakil Pas.

``Dalam hal ini, UMNO tidak ada masalah, tinggal lagi Pas tidak usah melibatkan diri dan biar Abdul Hadi seorang sahaja yang bermuzakarah atas namanya bukan sebagai wakil Pas,'' katanya kepada pemberita selepas melawat Angkasapuri di sini, hari ini.

Menurut Dr. Mahathir, Pas dan Majlis Fatwa Kebangsaan perlu bermuzakarah kerana fatwa yang dikeluarkan oleh majlis itu sebelum ini menunjukkan salah satu punca kekeliruan masyarakat Islam ialah berkaitan Amanat Haji Hadi.

``Ketika itu, Majlis Fatwa berpendapat amanat ini mengelirukan orang Islam terutama tentang siapa yang Islam, siapa yang tidak. Oleh itu adalah lebih baik muzakarah ini segera dilaksanakan,'' katanya.

Mengulas saranan Pas supaya IKIM dijadikan lokasi untuk bermuzakarah, Dr. Mahathir berkata:

``Saya berpendapat tempat tidak penting kerana yang penting sekarang ini ialah penjelasan perlu dibuat segera demi kebaikan masyarakat Islam seluruhnya.''

Oleh: MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan ZULKIFLI JALIL

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi