Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 20 april 2001

Syarat kumpulan A aktif politik

GENTING HIGHLANDS 19 April - Kerajaan sedia memberi kebenaran kepada pegawai kerajaan kumpulan A bergiat aktif dalam politik termasuk memegang jawatan parti sekiranya tiada percanggahan kepentingan dalam menjalankan tugas bagi kedua-dua jawatan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad bagaimanapun berkata, terpulang sepenuhnya kepada kerajaan sama ada akan memberikan kebenaran itu atau sebaliknya.

``Kerajaan cuma boleh pertimbang bagi pegawai tertentu sahaja di mana tidak mempunyai percanggahan kepentingan dalam menjalankan tugasnya.

``Kalau didapati tidak ada percanggahan, dia (pegawai) boleh minta kebenaran dan terpulang kepada kerajaan hendak bagi kebenaran atau tidak,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Perdana Pendidikan Kebangsaan di Institut Aminuddin Baki di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kemenangan Penolong Gabenor Bank Negara (Operasi dan Pelaburan), Datuk Dr. Awang Adek Hussin merebut jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bachok dalam pemilihan bahagian itu baru-baru ini.

Kemenangan Dr. Awang Adek itu dilihat bertentangan dengan Perintah Am Kerajaan walaupun Fasal 6.3.4 Perlembagaan UMNO membenarkan pegawai kerajaan memegang jawatan dalam parti.

Dr. Mahathir menjelaskan, kerajaan tidak boleh memberi kebenaran kepada semua pegawai kerana sebahagiannya mempunyai percanggahan kepentingan antara tugas sebagai pegawai kerajaan dan dalam parti.

Katanya, kerajaan perlu berhati-hati dalam menangani keadaan seperti itu dan hanya akan memberi kebenaran kepada mereka yang betul-betul tidak mempunyai percanggahan kepentingan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum